blank

Senarai Rekod Yang Dicipta Oleh Cristiano Ronaldo Musim Ini

blank

Cristiano Ronaldo telah memecahkan beberapa rekod pada musim ini yang mana merupakan musim terbaik dalam karier individunya.

Pemenang lima kali gelaran ballon d’or itu menjaringkan gol ke-100 dan 101 beliau untuk skuad kebangsaan Portugal baru-baru ini ketika menewaskan Sweden 2-0 dalam saingan Nations League.

Untuk kejohanan domestik pula, beliau telah berjaya membantu Juventus untuk menjuarai saingan Serie A buat kali kesembilan berturut-turut.

Cristiano Ronaldo juga berjaya untuk menjaringkan 31 gol buat skuad the old lady dalam saingan liga.

Planet Football telah mengumpulkan data dan senarai pencapaian yang berjaya di capai oleh Ronaldo dan ianya membuktikan bahawa musim 2019/20 merupakan musim yang sungguh cemerlang untuk bintang berusia 35 tahun itu.

Berikut merupakan data tentang kejayaan Cristiano Ronaldo pada musim lalu yang berjaya dikumpul oleh Planet Football:

Cristiano Ronaldo menjadi pemain Eropah pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol antarabangsa selepas mencetak jaringan ketika Portugal menewaskan Sweden awal minggu lalu.

Beliau kini cuma ketinggalan lapan gol sahaja di belakang legenda Iran, Ali Daei yang menjaringkan 109 gol antarabangsa sepanjang kariernya.

Jumlah jaringan antarabangsa Cristiano Ronaldo kini sama banyak dengan jumlah jaringan penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, Thierry Henry(51) dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Netherlands, Robin Van Persie(50) jika di gabungkan.

Penjaring kedua dan ketiga terbanyak sepanjang zaman untuk pasukan kebangsaan Portugal, Pauleta(47) dan Eusebio(41) jika digabungkan juga masih 13 gol kurang dari rekod yang berjaya dicipta oleh Ronaldo.

Bekas pemain pasukan setan merah dan Real Madrid itu telah berjaya untuk menjaringkan 49 gol dari 47 penampilan terakhirnya bersama Portugal.

Ronaldo kini sudah berjaya menjaringkan lebih dari 700 gol sepanjang kariernya. Dan hanya enam sahaja pemain lain yang berjaya mencapai tahap seperti apa yang sudah beliau capai.

Pele, Romario, Gerd Muller, Josef Bican, Ferenc Puskas dan Lionel Messi sahaja pemain yang berjaya mencapai rekod pencapaian seperti Cristiano Ronaldo.

Untuk membuktikan usia hanya sekadar nombor, Cristiano Ronaldo menjadi pemain paling tua yang berjaya menjaringkan lebih 30 gol semusim dari lima liga utama Eropah sejak  tahun 1948.

Ronaldo juga berjaya mencapai angka 50 gol hanya dari 61 perlawanan sahaja untuk skuad Juventus, yang mana ianya rekod paling cepat dicapai oleh mana-mana pemain dalam sejarah kelab dan kedua terpantas dalam sejarah Serie A.

Beliau juga menjadi pemain pertama dalam sejarah yang berjaya menjaringkan 50 gol dalam saingan premier league, La Liga dan Serie A.

Akhir sekali, musim ini merupakan musim ke-15 berturut-turut Cristiano Ronaldo berjaya untuk mencipta lebih dari 10 jaringan semusim.

Bercakap selepas tamat perlawanan ketika menentang Sweden yang lalu, Ronaldo menjelaskan kepada Goal bahawa beliau sangat gembira dengan pencapaiannya.

“Pertama sekali, saya gembira kerana pasukan saya menang dan kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh saya. Kemudian jaringan ke-100 dan 101 yang berjaya saya cipta dalam perlawanan ini membuatkan saya teramat sangat gembira.”

“Kini masa depan semuanya di tangan tuhan. Saya berasa senang, saya rasa sangat senang untuk terus bermain bersama pemain muda ini semua.”

“Apa yang sudah saya capai dalam karier saya membuktikan segalanya. Tidak, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa pon dan ketika saya perlu membuktikannya, saya akan buktikan di atas padang.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.