Senarai Rekod Baru Yang Tercipta Dalam Merseyside Derby Semalam

Perlawanan merseyside derby antara Liverpool dan Everton semalam berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Merseyside derby kali ini boleh dikatakan perlawanan paling dinantikan oleh para peminat selepas melihat aksi cemerlang yang dipamerkan oleh Everton sepanjang empat perlawanan awal musim ini.

Walau perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 2-2, namun yang menarik dalam perlawanan ini adalah begitu banyak rekod baru yang telah tercipta.

Pertama sekali pastinya rekod selama 81 tahun yang telah berjaya dipecahkan oleh Dominic Calvert Lewin dalam perlawanan semalam.

Calvert Lewin telah menjadi pemain Everton pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam lima perlawanan awal liga, secara berturut-turut sejak kali terakhir dilakukan oleh Tommy Lawton pada tahun 1939.

Beliau berjaya mencatatkan namanya dalam sejarah kelab sebaris dengan nama legenda seperti Fred Geary, Sandy Young, Dixie Dean, Tommy White dan Tommy Lawton.

Dari lima perlawanan awal liga, Dominic Calvert Lewin telah berjaya mencipta tujuh jaringan dan dari tujuh jaringan tersebut beliau berjaya mencatatkan satu hat-trick.

Pemain kebangsaan England itu berjaya menjaringkan hat-trick ketika menentang West Brom dan menjaringkan satu gol ketika bertemu Tottenham, Crystal Palace, Brighton dan terbaru Liverpool.

Penyerang Everton itu juga menjadi pemain pertama dari lima liga utama Eropah yang berjaya menjaringkan 10 gol dari semua pertandingan pada musim 2020/21 ini.

Selain bintang Everton itu, Sadio Mane juga berjaya memecahkan beberapa rekod dalam perlawanan merseyside derby semalam.

Sadio Mane menjadi pemain pertama yang menjaringkan dalam premier league untuk Liverpool di Goodison Park sejak kali terakhir dilakukan oleh dirinya sendiri pada Disember 2016.

Selain itu, Sadio Mane juga telah berjaya menjaringkan gol terpantas dalam merseyside derby untuk Liverpool dalam sejarah premier league dengan gol jaringannya pada minit ke-2 perlawanan.

Secara keseluruhannya pula, gol Sadio Mane adalah jaringan kedua terpantas dalam sejarah merseyside derby setelah gol yang berjaya dijaringkan oleh Olivier Dacourt pada April 1999, dengan menjaringkan gol seawal minit pertama perlawanan.

Paling menarik, Sadio Mane telah berjaya melakar sejarah baru dalam perlawanan merseyside derby semalam dengan menjadi pemain pertama ditangkap off-side kerana bulu lengannya melebihi garisan.

Dek kerana keputusan offside itu, gol jaringan Jordan Henderson telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan dan melenyapkan harapan the Reds untuk mengutip tiga mata penuh di Goodison Park.

Tidak terlepas, bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah turut berjaya melakar sejarah peribadi dengan menjaringkan gol ke-100 beliau untuk the reds dengan penuh bergaya.

Beliau menjadi pemain pertama menjaringkan 100 gol untuk Liverpool sejak kali terakhir berjaya dicipta oleh Steven Gerrard pada tahun 2008.

The Egyptian king itu juga menjadi pemain ke-17 dalam sejarah Liverpool yang berjaya mencipta 100 jaringan dari 128 tahun penubuhan kelab.

Liverpool dengan memecahkan rekod sudah seperti isi dengan kuku, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu telah berjaya untuk memecahkan satu demi satu rekod sejak awal musim lalu.

Perlawanan keempat saingan liga juga mereka telah mencipta rekod baru yang tersendiri dengan menjadi Juara bertahan pertama dibelasah tujuh gol dalam perlawanan liga.

Walau itu adalah rekod yang buruk, sudah namanya rekod ianya tetap rekod bukan?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.