Senarai Pemain Menerima Gaji Termahal Di Premier League Musim 2020/21 Didedahkan

Pierre-Emerick Aubameyang telah menandatangani kontrak baharu bersama Arsenal yang menjadikan beliau sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi di Premier Lweague pada musim ini.

Aubameyang telah menandatangani kontrak selama tiga tahun pada Selasa lalu untuk menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemain itu.

Kontrak baharu tersebut bermakna pemain berusia 31 tahun ini akan menerima bayaran sebanyak £350,000 seminggu – jumlah kenaikkan yang tinggi jika pendapatan Aubameyang berjumlah £200,000 seminggu sebelum ini diambil kira.

SunSport dalam satu laporan mendedahkan pemain antarabangsa Gabon itu telah menyamai pendapatan rakan sepasukan, Mesut Ozil yang turut menerima £350,000 seminggu.

Seorang lagi pemain Premier League yang turut menerima jumlah pendapatan yang sama adalah penjaga gol Manchester United, David de Gea yang telah melanjutkan kontrak untuk kekal di Old Trafford pada September lalu.

Berikut adalah senarai 10 pemain di Premier League yang menerima gaji paling tinggi:

10. Willian (Arsenal) £220,000 seminggu

9. Sergio Aguero (Manchester City) £230,000 seminggu

8. Anthony Martial (Manchester United) £250,000 seminggu

7. Paul Pogba (Manchester United) £290,000 seminggu

6. Raheem Sterling (Manchester City) £300,000 seminggu

5. Kai Havertz (Chelsea) £310,000 seminggu

4. Kevin De Bruyne (Manchester City) £320,000 seminggu

=2. David de Gea (Manchester United) £350,000 seminggu

=2. Mesut Ozil (Arsenal) £350,000 seminggu

1. Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal) £350,000 seminggu

Kai Havertz menjadi pemain muda di dalam senarai ini apabila menerima £310,000 setelah menyertai Chelsea dari Bayer Leverkusen pada musim panas ini. Havertz baru berusia 21 tahun.

Aubameyang dianggap selayaknya menerima gaji sebanyak itu setelah menampilkan aksi konsisten sehingga berjaya membantu Arsenal meraih kejuaraan Piala FA pada musim lalu.

Setelah mengesahkan dirinya kekal di Emirates, pemain antarabangsa Gabon itu dalam satu kenyataan berkata:

“Saya mahu menjadi pemain legenda Arsenal seperti Thierry [Henry], [Ian Wright] Wrighty, [Tony] Adams dan [Dennis] Bergkamp.

“Saya mahu meninggalkan sebuah legasi. Di sinilah saya sepatutnya berada. Inilah keluarga saya.

“Saya tidak pernah meragui akan kekal bersama kelab yang amat istimewa ini.

“Saya percayakan Arsenal. Kami boleh mencapai kejayaan besar jika bersama. Kami mempunyai perkara [projek] yang mengujakan di sini dan saya percaya yang terbaik akan tiba juga nanti untuk Arsenal.”

Hubungan baik Aubameyang dan Mikel Arteta adalah faktor utama pemain itu mahu kekal di Stadium Emirates. Pengendali dari Sepanyol itu turut melahirkan kegembiraannya.

“Ianya amat penting untuk Pierre-Emerick untuk kekal bersama kami,” kata Arteta.

“Beliau adalah pemain yang hebat dengan mentaliti yang menakjubkan. Menjadi seorang pemain yang mampu menjaringkan 50 gol dalam masa yang singkat untuk kelab ini cukup untuk menjelaskan dirinya dan cara bekerja yang diamalkan.

“Beliau adalah seorang ketua yang penting untuk pasukan, dan merupakan bahagian terpenting untuk apa yang kami mahu bina di sini.

“Beliau bercita-cita tergolong bersama pemain-pemain terbaik dunia yang lain, dan beliau boleh melakukannya di sini.”

Untuk rekod, penyerang skuad kebangsaan Gabon berusia 31 tahun itu telah meledak 72 gol sejak menyertai Arsenal pada musim 2017/18 dalam 111 penampilannya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.