Senarai Gaji Pemain Didedah Selepas Barcelona Di Ambang Bankrupsi

Barcelona dilaporkan berhadapan dengan risiko bankrupsi. Namun pendedahan baru-baru ini lebih mengejutkan apabila pendedahan mengatakan pemain mereka dilaporkan menerima peningkatan gaji sehinga £235 juta setahun secara keseluruhan.

Laporan dari Sepanyol berkata Barcelona perlu mencari kaedah untuk melakukan pemotongan gaji sehingga £170 juta dalam masa terdekat untuk mengelakkan malapetaka kewangan pada tahun hadapan.

Lionel Messi sahaja telah mengutip £65 juta setahun untuk pendapatan. Laporan yang mengejutkan ramai di Sepanyol oleh media dalaman, FC Barcelona Latest News itu turut berkata jumlah tersebut belum lagi termasuk bonus yang harus dibayar kepada kapten Argentina itu.

Secara purata ini bermakna Messi menerima sekitar £988,000 seminggu, dengan bayaran bonus mencecah £13 juta setahun.

Stesen radio Catalan RAC1 mendakwa rundingan oleh Barcelona bersama pemain untuk menerima pemotongan gaji sehingga 30% telah pun dimulakan.

Namun segala terma dan kata sepakat dari rundingan tersebut harus dipersetujui sebelum 5 November hadapan untuk mengelakkan Barcelona diumumkan sebagai bankrup pada Januari.

Pendapatan kebanyakkan kelab bola sepak di seluruh dunia termasuk Barcelona telah terjejas teruk ekoran penularan wabak yang melanda dunia.

Keadaan kewangan di Barcelona terus merudum teruk dan dikatakan hilang kawalan apabila turut mengumumkan kerugian £88 juta pada Oktober lalu.

Bayaran yang sangat tinggi kepada Messi bukan satu-satunya isu di kelab tersebut. Bintang Perancis, Antoine Greizmann misalnya dibayar £881,423 seminggu manakala Philippe Coutinho pula menerima £165,000 seminggu.

Pemain pertahanan veteran, Gerard Pique yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu kini telah menerima pemotongan gaji sebanyak 50% untuk kekal di Nou Camp dan kini dibayar £110.000.

Selepas presiden kelab Josep Maria Bartomeu meletak jawatan, lembaga pengarah kela tersebut kini diterajui oleh Carles Tusquests sehinggalah pemilihan baharu dilakukan pada tahun hadapan.

Tusquets berkata: “Penularan wabak telah memberi kesan yang sangat teruk kepada Barcelona. Kelab bergantung kepada sektor pelancongan, dan sekarang punca pendapatan tersebut telah hilang.

“Situasu sekarang sangat tidak selesa, dan harus mengambil idea lembaga pengarah sebelumnya untuk berhadapan dengan masalah yang kita hadapi pada hari ini.”

Ini bukan kali pertama Barcelona mengambil langkah memotong gaji pemain mereka. Pada Mac lalu lembaga pengarah Barcelona turut melakukan pemotongan 70% gaji Lionel Messi dan rakan-rakannya.

Lionel Messi sendiri mengesahkan pemain Barcelona memotong 70 peratus gaji mereka ketika krisis wabak sedang mengganas melanda seluruh dunia.

Dana tambahan itu akan disalurkan kepada kakitangan pasukan sepanjang krisis itu meskipun sebelum ini pemain tidak bersetuju dengan pemotongan gaji yang dicadangkan.

Selepas perbincangan antara lembaga pengarah dan pemain untuk mendapatkan kata putus, pemain dilaporkan hanya bersetuju dengan 50 peratus pemotongan namun perkembangan terbaru membuktikan sebaliknya.

Bukan setakat pemotongan 70 peratus gaji namun pemain pasukan itu akan turut menyumbang bagi memastikan kakitangan biasa mendapat gaji penuh ketika saingan liga dihentikan.

Pemain utama seperti Messi dan Luis Suarez pada ketika itu mengeluarkan kenyataan berhubung pemotongan gaji itu menerusi laman media sosial mereka.

Kenyataan itu berkata ‘sudah tiba masanya untuk mengumumkan bahawa bukan setakat pemotongan 70 peratus gaji, tetapi kami akan membuat sumbangan bagi memastikan kakitangan kelab mendapat 100 peratus gaji mereka sehingga situasi ini berakhir.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.