Selepas Messi Giliran Ousmane Dembele Pula Buat Koeman Pening Kepala

Ousmane Dembele tidak pernah serik dan berterusan dengan masalah disiplin di Barcelona. Kali ini pemain sayap Perancis ini sekali lagi tiba lambat untuk latihan pada Isnin.

Jika prestasi menentang Vilalreal diambil kira, usah dirisau mengenai komitmen yang diberikan Messi kepada Barcelona walaupun pernah menyatakan hasrat untuk berpindah.

Sebaliknya Koeman kini harus lebih risaukan komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh Ousmane Dembele.

Pemain berusia 23 tahun itu dilaporkan tiba di padang latihan pada jam 10:15 pagi (waktu Catalunya) walaupun diarahkan tiba selewat-lewatnya jam 10:00 pagi.

Waktu di atas adalah berdasarkan waktu bekerja standard yang ditetapkan oleh pihak kelab.

Dan menurut laporan sebelum ini, Ronald koeman telah mengenakan rejim yang ketat dalam latihan dan mengkehendaki semua pemain tiba sejam sebelum waktu sebenar latihan bermula.

Ini bukan kali pertama Dembele berhadapan dengan masalah kelewatan untuk tiba di pusat latihan. Musim-musim sebelumnya ia adalah isu utama kepada pemain ini.

Malah pada musim 2019/19 pernah pemain ini mendakwa dirinya tertidur menyebabkan langsung tidak muncul ke sesi latihan.

Koeman adalah seorang jurulatih yang tehas dan mementingkan disiplin serta aturan secara berkumpulan. Ia adalah metodology yang jurulatih ini percayai mampu memberikan pulangan pada jangka masa panjang.

Selama ini, ianya bukan lagi rahsia latihan di Barcelona dilihat sebagai tidak menepati standard sebuah pasukan elit.

Buktinya hasil di atas padang dilihat semakin merudum sejak beberapa musim yang lalu.

Beberapa pemain yang telah meninggalkan kelab itu turut pernah merungut mengenai intensiti latihan yang lemah dipraktikkan sebelum ini.

Koeman pula menjadikan latihan pasukan seolah-olah kehidupan dan masa depan pemain bersandarkan kepada kesungguhan yang ditampilkan.

Perubahan drastik dan keras yang dilakukan oleh Koeman menyebabkan beliau digelar ‘Sarjan Koeman’ oleh pemain-pemain di bilik persalinan.

Antara perubahan yang dilakukan oleh jurulatih itu sejak tiba di Nou Camp ialah meningkatkan tempoh latihan dari sejam kepada 90 minit. Koeman turut memastikan ia adalah latihan berintensiti tinggi.

Perubahan ini yang memaksa pemain lebih banyak melakukan kerja keras mulai dirasai oleh pemain Barcelona, terutamanya di kalangan pemain senior.

Dembele setakat ini dilihat masih gagal untuk meyakinkan Koeman untuk berada di dalam kesebelasan utama.

Dalam perlawanan menentang Villareal pada Ahad lepas, Koeman membariskan Lionel Messi, Philippe Coutinho, Ansu Fati dan Antoine Griezmann.

Dembele hanya dimasukkan sebagai pengganti kepada Fati pada minit ke-70 perlawanan.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.