Selepas Malukan Arteta, Guardiola Minta Peminat Arsenal Terus Percayakan Idolanya Arteta

Pep Guardiola membuat satu sesi temuramah paling pelik dalam sejarah EPL. Selain daripada meminta peminat Arsenal bersabar, dia juga mengiktiraf Arteta sebagai idolanya.

Tak ke pelik?

Ketika aksi 90 minit Pep Guardiola tanpa belas kasihan membelasah bekas pembantunya itu. Manchester City menang besar 5-0 ke atas Arsenal yang satu ketika hanya memegang penguasaan bola 9% sahaja.

Kau bayangkan 10 kali orang tumbuk muka Arsenal, dia cuma mampu memberikan balasan dengan satu tamparan lemah gemalai sahaja.

Guardiola  memahami kritikan yang ditujukan kepada Mikel Arteta namun dia berharap Arsenal janganlah sampai memecat Arteta.

Menurut Pep, Arteta memerlukan masa untuk menghidupkan kembali Arsenal pada saat ini.

Peminat Arsenal mulai bengang dengan Arteta, selepas hampir dua tahun, pengurus itu tak habis habis meratib percayakan proses.

Walaupun Arteta memberikan Arsenal Piala FA dan Perisai Kebajikan, namun peminat kecewa Arsenal gagal layak ke Eropah. Jangan kata UCL, UEL pun tak lepas, lebih teruk, UEFA tiba tiba umumkan kejohanan Liga Persidangan UEFA, itu pun Arsenal tak layak

Setelah tewas 0-2 kepada pasukan yang baru naik, Brentford dan kemudian dirembat Chelsea, Arsenal dibelasah pula 5-0 oleh City.

Bagi Arsenal, ini adalah kekalahan berturut-turut ketiga pada awal musim dan menjadikan mereka di kedudukan ke-20 dalam carta liga. Arsenal langsung tidak menjaringkan gol sama sekali, dan bolos 9 kali.

Akibat tiada gol, penyokong Arsenal terpaksa meraikan gol lawan ke atas mereka. Maka tidah hairanlah Arteta dikritik dengan teruk.

Namun Guardiola tak sanggup idolanya itu dipecat. Selepas tamat perlawanan, Guardiola berkata: “Dia telah berubah menjadi seorang yang hebat, keperibadiannya, cara dia memimpin, semangatnya untuk kita semua.”

“Kami sedih ketika dia pergi meninggalkan kami dulu.”

“Kadang-kadang orang mengharapkan hasil segera.”

“Pasukan hari ini bukan pasukan yang dia impikan, kerana banyak pemain cedera, termasuk pemain utama. Ben White adalah salah satu contohnya.”

“Dia tak ada pemain pemain yang dia perlukan untuk melaksanakan perancangannya. Setiap pengurus memerlukan skuad terbaiknya. Saya dapat menggunakan semua pemain kecuali De Bruyne dan Foden.”

“Dia adalah lebih daripada sekadar pengurus yang bagus.”

“Saya peminat besar (peminat fanatik). Ketika bersama dengan dia, saya belajar banyak perkara yang selama ini saya cuma belajar sedikit je.”

“Dan saya yakin jika mereka terus mempercayainya, maka dia akan mendapat keputusan hebat musim ini.”

Pastinya kita semua berharap Arteta akan terus kekal di Arsenal. Dia memang pengurus yang berwibawa dan berketerampilan.

Cuma sekarang ini keadaan agak tidak memihak beliau kerana beberapa situasi di luar kawalannya. Ini termasuk pemain yang tidak cergas serta ada beberapa pemain beliau sebelum ini sakit.

Kita semua yakin, Arteta adalah insan yang tepat mengendalikan Arsenal, membawa kelab itu kepada kegemilangannya sekali lagi.

Walaupun Arsenal dilihat agak kurang bermaya di atas padang, namun di luar padang, di bawah kepimpinan Arteta, Arsenal terus menjadi kelab dengan jersi tercantik.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.