Selepas Jota, Liverpool Telah Capai Persetujuan Untuk Mendapatkan Pemain Ini

Liverpool dan Watford telah bersetuju dengan segala terma dan syarat berkait perpindahan Ismail Sarr untuk menyertai sang Juara saingan liga perdana Inggeris musim lalu.

The reds telah hangat dikaitkan dengan Ismail Sarr pada minggu lalu dengan adanya laporan yang mendakwa bahawa penyerang Watford itu merupakan sasaran utama mereka untuk memperkuat skuad sedia ada.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Jurgen Klopp terlebih dahulu telah menandatangani Diogo Jota dari Wolves hujung minggu lalu.

Liverpool menandatangani Jota dengan yuran perpindahan bernilai £45 juta dan hal itu menyebabkan spekulasi berkait dengan Ismail Sarr dikatakan sudah berakhir.

Terbaru, menurut sumber laporan dari France Football, kedua-dua pihak kini telah bersetuju berkait pemain berusia 22 tahun itu dengan nilai dipercayai €35 juta hingga £40 juta.

Media Perancis itu turut mendakwa bahawa Liverpool kini hanya perlu bersetuju dengan terma berkait pemain sahaja dan telah selesai urusan bersama Watford.

Ismail Sarr telah mempamerkan persembahan sungguh mengagumkan sejak Februari lalu dan beliau juga pemain yang memainkan peranan penting membantu Watford menewaskan Liverpool buat pertama kalinya sepanjang musim lalu.

Sarr menyertai Watford pada musim panas lalu dari Rennes dengan nilai perpindahan bernilai £30 juta dan telah menjaringkan 6 gol dalam semua pertandingan untuk kelab.

Namun terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Liverpool masih jauh lagi untuk menamatkan perundingan ini memandangkan pemain itu turut diburu oleh kelab-kelab lain.

Aston Villa dan Manchester United merupakan dua kelab yang turut memantau Ismail Sarr dan sangat berminat untuk menandatangani pemain itu.

Walaupun Anfield boleh dikatakan tempat impian untuk para pemain beraksi dengan corak permainan dan peluang untuk berjaya itu tinggi, namun peluang Sarr untuk berada dalam kesebelasan utama itu agar sukar untuk dijamin.

Pemain kebangsaan Senegal itu pastinya sukar untuk bersaing dengan trio handalan Liverpool, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Apa lagi kini Liverpool telah menambah seorang lagi pemain hebat, Diego Jota yang juga bermain di posisi sama. Maka makin sukarlah untuk Sarr bersaing dalam merebut tempat bersama kesebelasan utama.

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa Klopp masih lagi berminat untuk mendapatkan khidmat Ousmane Dembele dari Barcelona yang mana pemain itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

Jurgen Klopp dilaporkan mahu membawa Ousmane Dembele ke Anfield sebagai pemain pinjaman dari Barca.

Barca sendiri pula lebih memilih untuk menjual pemain tersebut demi mendapatkan dana tambahan supaya mereka boleh menandatangani pemain sasaran mereka pula.

Namun Ronald Koeman sendiri mengakui bahawa dari meminjamkan Ousman Dembele, beliau lebih gembira sekiranya pemain itu kekal bersama skuadnya musim ini.

Selain Jota yang baru ditandatangani, Liverpool telah menandatangani dua lagi pemain lain pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kostas Tsimikas dan Thiago Alcantara merupakan dua lagi pemain yang mereka tandatangani dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi oleh mereka musim lalu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.