Selepas Cuba Mencuri Kad Merah Sebelum Ini, Digne Akhirnya Berjaya Mendapatkannya Secara Rasmi

Sebelum ini Digne telah dikecam teruk oleh peminat Liverpool kerana gurauan beliau yang dirasakan keterlaluan, dan minggu ini sepertinya beliau telah terkena karma dari gurauannya itu.

Digne ketika itu bergurau dengan rakan sepasukannya, Richarlison tentang insiden layangan kad merah terhadap bintang Brazil itu selepas beliau melakukan terjahan kasar ke atas Thiago Alcantara.

Lucas Digne memuat naik gambar di Instagram dengan menulis:

“Saya cuba melakukan yang terbaik Pai @richarlison.”

Pemain berusia 27 tahun itu memuat naik gambar yang memperlihatkan beliau sedang cuba untuk mengambil kad merah di belakang poket Michael Oliver dengan ketika itu pengadil sedang menunggu Richarlison untuk bangun dan melayangkan kad merah kepadanya.

Kononnya beliau bergurau dengan Richarlison seolah-olah dirinya cuba untuk merampas kad merah tersebut supaya pengadil tidak melayangkan kad merah kepada rakan sepasukannya itu

Para peminat Liverpool merasakan bahawa Digne tidak sepatutnya menjadikan insiden tersebut sebagai bahan gurauan kerana ianya melibatkan masa depan dan karier seseorang pemain.

Terjahan yang dilakukan oleh Richarlison sebenarnya boleh menyebabkan Thiago tidak boleh bermain bola sepak lagi dan ianya benar-benar berbahaya

Dalam perlawanan Everton menentang Southampton malam tadi, Lucas Digne telah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana melakukan terjahan keras kepada Walker Peter dari belakang.

Para peminat kemudiannya menyatakan Digne telah terkena karma dari gurauannya yang mahu mencuri kad merah dari poket pengadil sebelum ini dan hari ini beliau benar-benar dihadiahkan kad merah tersebut.

Kad merah tersebut menjadikan Everton pasukan pertama dalam saingan premier league musim ini yang menerima layangan kad merah dalam dua perlawanan berturut-turut.

Namun terdapat juga pihak yang menganggap pemain Perancis itu sepatutnya hanya perlu dihukum dengan kad kuning sahaja bukannya kad merah.

Menurut Jamie Redknapp:

“Ianya hanya pelanggaran yang tidak disengajakan, dan sepatutnya beliau hanya diberikan kad kuning sahaja.”

“Tidak kira 25 minit atau berapa minit sekali pun, kad merah itu pasti mengubah permainan, dan kerana kad merah itu permainan Everton berakhir.”

“Tidak ada mana-mana pemain bola sepak pon akan bersetuju bahawa tindakan Digne itu harus dilayangkan kad merah, ianya hanya pelanggaran yang tidak disengajakan.”

Digne telah dilayangkan kad merah pada minit ke-72 perlawanan, dan ketika itu juga Everton sudah ketinggalan 2-0 selepas James Ward Prowse dan Che Adams menjaringkan gol untuk Southampton pada babak pertama permainan.

Everton telah tewas buat pertama kalinya dalam saingan liga pada musim ini kepada Southampton dengan keputusan 2-0.

The Toffees kini masih lagi berada di kedudukan pertama dalam saingan liga dengan mengumpul 13 mata dari enam perlawanan.

Manakala Southampton pula kini berada dikedudukan kelima dalam saingan liga setakat ini dengan mengumpul 10 mata dari enam perlawanan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.