Selepas 6 Tahun Bersama,0 Penampilan & 2 Kad Merah, Inter Milan Ucap Selamat Tinggal Kepada Pemain Legenda Ini

Ia hari menyedihkan buat Inter Milan apabila salah seorang pemain yang dianggap legenda meninggalkan kelab tersebut.

Pemain yang dimaksudkan adalah Tommaso Berni, selepas kontrak penjaga gol itu ditamatkan setelah bersama Inter selama 6 tahun tanpa sebarang penampilan.

Sebagai penjaga gol dan tanpa sebarang aksi kompetitif, Berni juga mengakhiri karier di San Siro tanpa sebarang gol dibolosi.

Walaupun hanya berperanan sebagai penjaga gol simpanan dan tidak pernah beraksi, Berni bagaimanapun pernah dilayangkan kad merah sebanyak dua kali.

Berni dilayangkan kad merah ketika Inter menang 2-1 dengan jaringan lewat minit permainan ketika menentang Parma pada minit ke-68 kerana mengeluarkan kata-kata kesat.

Satu lagi kad merah ialah pada awal musim ketika menentang Cagliari apabila beliau secara sarkastik bertepuk tangan untuk pengadil kerana memberikan arahan keluar padang kepada Lautaro Martinez dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1.

Sebelum ini kontrak Berni telah disambung sehingga penghujung Ogos, dan laporan mengatakan penjaga gol itu menerima gaji €200,000 setahun hanya untuk menjadi anggota skuad.

Namun kini Berni sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana tidak akan dilayangkan kad merah lagi selepas Inter enggan menyambung kontrak tersebut.

Pada usia 37 tahun pada hari ini, Berni adalah produk akademi kelab itu sendiri dan perlu diakui telah melalui karier yang buruk.

Beliau menyertai Wimbledon pada 2001, namun meninggalkan kelab tersebut beberapa bulan selepas itu tanpa membuat sebarang penampilan.

Bekas penjaga gol Braga dan Lazio itu hanya tampil dalam 120 perlawanan profesional sepanjang kariernya dan perlawanan terakhir beliau beraksi ialah menentang Sampdoria pada 2013.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.