Sejarah Revolusi Kasut ‘Spike’ Dalam Olahraga

Pada awalnya tidak sesiapa pun yang terfikir untuk memasang ‘paku’ tajam di tapak kasut.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh Joseph William Foster ketika menghasilkan kasut spike untuk membantu pelari balapan mendapat cengkaman maksimum di atas balapan.

Bagaimana Ia Bermula

Pada awalnya idea ini dipercayai terhasil apabila Joseph William Foster melihat kelakuan seekor ayam yang menggunakan kuku kaki tajam yang dicengkam kuat ke permukaan tanah untuk berlari.

Sebelum itu, kasut trek hanyalah kasut getah biasa dan cengkamannya tidak cukup kuat. Pada 1850, Joseph William Foster menerusi perusahaan beliau telah mengkomersilkan idea kasut spike ini.

Syarikat beliau asalnya ialah Joseph William Foster And Son. Tetapi selepas itu ianya ditukar kepada Reebok.

Kasut spike pertama keluaran Reebok agak panas, berat dan pakunya tidak cukup tajam seperti yang ada pada hari ini. Kebanyakan kasut spike ketika itu diperbuat daripada kulit lembu.

Ianya seperti kasut pejabat yang dipasang paku di belakangnya. Di bawah ini adalah contohnya.

Setelah beberapa analisa tentang kasut tersebut, Reebok menukar kulit lembu dengan material kulit kangaru yang lebih ringan.

Jadi, harga sepasang kasut Reebok pun naik mendadak dan sangat mahal ketika itu iaitu sekitar $6. Kasut lain yang ada biasanya berharga sekitar $2 – $4.

Penambahbaikan lain dilakukan Reebok termasuk memperbaiki kedudukan lubang tali kasut. Ini untuk membolehkan pemakainya mengikat tali kasut mengikut keselesaan mereka.

Dominasi Adidas

Cerita tentang revolusi kasut spike ini telah sampai ke Jerman. Pada sekitar 1900, perusahaan Adolf Dassler (Addas/Adidas) telah melakukan eksperimen kepada kasut larian (running shoes) mereka dan dipasang dengan duri besi yang lebih kecil dan tajam.

Kasut larian adalah sangat ringan berbanding dengan kasut spike asli yang dihasilkan oleh Reebok. Ini kerana ianya diperbuat daripada kanvas dan getah.

Adidas akhirnya menghasilkan kasut spike mereka sendiri yang jauh lebih ringan. Adidas berjaya mengatasi populariti Reebok. Pemenang Olimpik, Jesse Owens antara pelari yang memberikan publisiti sangat besar kepada Adidas.

Beza kasut yang dihasilkan Adidas dengan Reebok ketika itu adalah, duri besi yang dipasang di bahagian hadapan tapak kasut adalah lebih kecil dan ringan.

Di bahagian tumit, Adidas menggunakan tumit yang mendatar dan lembut. Ini membolehkan kasut mereka lebih ringan dan selesa digunakan.

Adidas juga menggunakan teknologi yang membantu pelari melonjak pada tahap maksimum. Seorang pelari balapan itu bergantung kepada lonjakan yang baik ketika berlari.

Dengan teknologi kasut larian biasa yang sudah ada, Adidas hanya memasukkan unsur cengkaman yang dicetuskan Reebok, tetapi mereka hanya memasang di bahagian hadapan.

Jika Reebok mengambil pendekatan cakar ayam, Adidas pula mengambil pendekatan cakar seekor singa yang lebih tajam dan kecil.

Adidas milik Adi Dassler telah disaingi oleh syarikat milik adiknya sendiri iaitu Puma yang dimiliki Rudi.

Dalam Sukan Olimpik 1928, mana-mana atlet balapan yang memakai kasut spike Adidas akan menjadi tumpuan. Ia kasut yang sangat mahal dengan teknologi yang sangat tinggi.

Pada Sukan Olimpik 1936 Jesse Owens telah memenangi emas Olimpik dengan bantuan Adidas.

Lebih ironi, Jesse Owens telah mencalarkan ego Hitler yang terkenal dengan sikap perkaumannya. Owens membawa pulang 4 emas dari Sukan Olimpik 1936 yang dianjurkan di Jerman.

Inilah kasut yang digunakan oleh Jesse Owens ketika itu

Pada 1952, Emil Zatopek adalah pelari jarak jauh pertama yang memakai kasut spike Adidas di Helesinki namun 3 jalur di kasut beliau ditanggalkan kerana Republik Czech tidak menyokong negara pro komunisme.

Pada era 1960-an, kasut spike ini sekali lagi mengalami revolusi. Plat plastik dilekapkan di bawah tapak kasut. Kini pelari boleh membuka dan memasang paku-paku tersebut bila bila masa mengikut kedudukan yang mereka selesa.

Bahan kulit yang di atas kasut telah ditukarkan dengan bahan sintetik yang menjadikan ia sangat ringan.

Kasut Spike Pada Hari Ini

Pada hari ini banyak syarikat yang boleh dikira pemain utama dalam industri pembuatan kasut spike selain daripada Adidas, Reebok dan Puma.

Kini, syarikat Nike dipercayai sebagai pengeluar utama kasut spike ini. Jenama lain termasuk New Balance, Saucony, Brooks dan Asics.

Variasi dalam rantaian model kasut ini juga terlalu banyak. Pelari boleh memilih kasut yang sesuai dengan kaki mereka, jarak larian, keadaan cuaca, tempat larian (terbuka atau dalam dewan), dan banyak lagi.

Kasut yang ringan dan rekaan yang berteknologi tinggi telah membantu atlet seperti Usain Bolt, dan Michael Johnson menempah kegemilangan di balapan.

Itulah serba sedikit informasi tentang revolusi kasut spike dalam sukan olahraga. Jika anda seorang pelari balapan pastinya anda ada kasut spike idaman.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.