Rick Flair ataupun nama sebenar beliau Richard Morgan Fliehr adalah legenda dalam sukan gusti. Terkenal dengan jolokan The Nature Boy, Ric Flair dianggap antara penggusti terbaik di dalam sejarah.
Namun ada satu kisah yang tidak semua orang tahu tentang Ric Flair ketika kecil. Beliau menceritakan yang beliau pernah menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Ric Flair Dan Sindiket Georgia Tann
Ric Flair lahir di Memphis pada Februari 1949. Ketika itu, di kawasan Memphis ada seorang wanita bernama Georgia Tann yang merupakan dalang kepada sindiket penjualan manusia terutama sekali bayi dan kanak-kanak.
Georgia berselindung di sebalik nama organisasi Tennessee Children’s Home Society. Sindiket Georgia Tann ini sangat aktif dan menjadi antara penjenayah pemerdagangan manusia yang terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
Modus operandi Georgia adalah mensasarkan rumah anak-anak yatim dan juga seringkali mengambil anak angkat di pusat anak angkat.
Georgia akan memberikan tekanan kepada pusat jagaan kanak-kanak dengan menuduh mereka tidak melakukan kerja. Ini untuk membolehkan kanak-kanak itu diserahkan kepada pusat jagaannya.
Selain itu, Tann juga seringkali mengugut untuk mengambil tindakan kepada ibu bapa yang miskin dan ibu tunggal kerana tidak menjaga anak dengan sebaiknya.
Tann meminta mereka menyerahkan anak ke pusat jagaan tempat dia bekerja dengan alasan, dia ada hak perundangan untuk berbuat demikian.
Tan selalu menggunakan ayat win-win situation untuk mendapatkan kanak-kanak daripada keluarga yang tidak berpendidikan dan mereka yang boleh dimanipulasi.
Tann juga didapati pernah menyuap beberapa jururawat dengan wang yang besar untuk mendapatkan bayi daripada hospital.
Namun urusan anak angkat kanak-kanak ini tidak dilakukan dengan telus. Tann telah menjual mereka di pasaran gelap.
Ada yang mengambil kanak-kanak ini untuk dijadikan hamba. Anda bayangkan apa yang berlaku dalam filem Slumdog Millionaire.
Lebih teruk ada kanak-kanak perempuan yang dijadikan hamba seks. Ada yang dilatih untuk menjadi pelacur dan pelakon pornografi.
Pada awalnya, ramai yang tidak tahu akan kerja kotor Georgia Tann ini. Dia seringkali bersama-sama dengan masyarakat di sekitar untuk aktiviti kebajikan dan seringkali menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Segala yang dilakukan Tan ini adalah untuk mengaburi mata masyarakat di situ. Dia juga selalu berpura-pura membantu anak-anak jalanan dan gelandangan untuk dibawa ke pusat jagaan kanak-kanak. Sebenarnya, dia menjual mereka.
Selepas beberapa aktiviti dia mulai disyaki, Georgia Tann beberapa kali didakwa dengan tuduhan memperdagangkan kanak-kanak. Namun dia seringkali terlepas daripada pertuduhan.
Rupa-rupanya dia sudah menyuap hakim Camille Kelley yang seringkali menghakimi kes melibatkannya.
Pada Mac 1949, seorang kanak-kanak bernama Fred Phillips (Rick Flair) telah diangkat dimasukan ke dalam pusat jagaan yang dikendalikan Georgia Tann. Dan kemudian dijual kepada pasangan yang mahukan anak.
Mengenangkan cerita itu, Rick Flair agak terkesan. Beliau telah dijual di pasaran gelap oleh sindiket. Selepas skandal itu meruncing, pusat anak angkat tersebut ditutup dan beberapa dokumen melibatkan kanak-kanak di sana telah dihapuskan dan banyak yang tidak tepat ataupun dipalsukan.
Dalam tempoh 25 tahun penubuhan pusat jagaan tersebut dilaporkan 5,000 kanak-kanak telah menjadi mangsa pemerdagangan orang. Lebih 500 kanak-kanak atau bayi meninggal dunia kerana diangkat oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang sebenarnya pembeli daripada sindiket Georgia Tann.
Di bawah ini adalah memorial yang dibina oleh masyarakat setempat bagi memperingati 19 kanak-kanak yang meninggal dunia tanpa dikenali identiti dan lebih seratus orang lagi meninggal di pusat jagaan kendalian Georgia Tann.
Ric Flair tidak pernah melihat surat anak angkat beliau sehinggalah beliau terpaksa melakukan kajian tentang sejarah hidupnya secara lebih mendalam untuk menghasilkan buku autobiografi.
Barulah beliau tahu yang nama ayah dan ibu kandungnya ialah Luther dan Olive Phillips. Ric Flair membesar dalam keluarga angkat beliau walaupun agak terkesan dengan dirinya yang pernah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang.
Mujurlah beliau dibeli oleh pasangan yang benar-benar mahukan anak. Dia seringkali membayangkan, apa pula nasib kanak-kanak yang lain?