Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyokong tindakan kapten Melaka United, Mohd Shukor Adan.
Shukor Adan sebelum ini menyatakan beliau enggan beraksi dalam suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat.
Dan semalam jurulatih Melaka, Zainal Abidin masih tak pasti sama ada Shukor akan mahu beraksi pada timbal balik kedua pada Ahad ini di Kuantan.
Melaka tewas 0-3 dalam perlawanan pertama. Mereka perlukan keajaiban di atas padang untuk mengatasi defisit itu.
Melaka, yang diiktiraf pasukan Super 6 oleh MFL pada Julai 2019, kerana kecekapan pengurusan kewangannya, entah mengapa, boleh terpalit isu masalah gaji.
Ini bukannya pertama kali kes seumpama itu berlaku di Melaka United yang dikenali dengan MU itu.
B. Sathianathan menganggap tindakan Shukor Adan yang tidak mahu bermain kerana gajinya tidak dibayar sebagai tidak melanggar apa-apa undang-undang.
“Buat apa dia nak turun bermain sedangkan fokus dia tak sepenuh hati. Saya sendiri tidak tahu mengapa Shukor enggan bermain. Jika benar beliau memboikot kerana tidak dibayar gaji, itu adalah hak beliau.”
“Pendapat saya, apa yang Shukor buat adala tepat. Kalau gaji tak dibayar lebih dua bulan, maka, seseorang pemain berhak untuk tidak mahu bermain,” jelas Sathianathan.
Berita isu gaji tak dibayar oleh Melaka ini turut sampai ke media Indonesia.
Pengurus pasukan Melaka, Datuk Yusoff Mahadi pula berjanji akan melangsaikan tunggakan gaji itu apabila mereka mendapat duit daripada penaja kelak.