Santos Tambah Jaringan Pele, Messi Belum Pecah Rekod

Santos menidakkan kejayaan Messi yang baru sahaja memecahkan rekod milik legenda kelab mereka, dengan menambah bilangan gol ke dalam rekod milik Pele.

Santos mendakwa rekod jaringan Pele yang sebenarnya bukanlah 643 gol, tetapi legenda bola sepak itu sebenarnya sudah menjaringkan 1,091 gol ketika bersama mereka.

Messi menjaringkan gol ke-644 beliau bersama Barcelona seterusnya memecahkan rekod milik Pele sebagai penjaring terbanyak untuk satu kelab.

Semua orang berfikir bahawa Messi telah berjaya memecahkan rekod terhebat itu, namun dengan tiba-tiba, Santos tampil mengeluarkan kenyataan yang agak mengejutkan.

Mereka menegaskan bahawa pemenang tiga kali Piala Dunia itu sebenarnya sudah menjaringkan 1,091 gol bersama Santos.

Nilai tersebut 448 gol berbeza dari catatan yang direkodkan sebelum ini yang menyatakan bahawa Pele menjaringkan 643 gol untuk Santos sepanjang kariernya.

Santos mendakwa, jaringan Pele ketika bertemu River Plate, Boca Juniors, Racing, Universidad de Chile, Real Madrid, Juventus, Lazio, Napoli, Benfica dan Anderlecht tidak dinyatakan dalam catatan 643 gol itu.

Apa yang mengejutkan lagi, mereka mendakwa ada lagi tambahan lapan jaringan Pele ketika bertemu Inter Milan dan empat gol ketika bertemu Barcelona juga tidak direkodkan.

Walaupun ramai pihak mendakwa perlawanan tersebut hanyalah perlawanan persahabatan, Santos menegaskan bahawa ia merupakan perlawanan rasmi.

Santos mendakwa ia perlawanan rasmi kerana mereka berdepan dengan pasukan sebenar dan menggunakan peraturan sebenar dari FIFA, jadi perlawanan itu menurut mereka rasmi.

Jadi dakwaan mengatakan perlawanan itu tidak rasmi adalah salah, maka kesemua gol tersebut harus diambil kira.

Sebahagian dari kenyataan mereka bertulis begini:

“Dalam beberapa hari ini, banyak yang berbicara di sidang media dan media sosial tentang jaringan yang dijaringkan oleh Pele bersama Santos Futebol Clube.”

“Menurut beberapa statistik, pemain Argentina, Lionel Messi (Barcelona) menjadi pemain yang menjaringkan gol terbanyak bersama satu kelab selepas menjaringkan gol ke-644 untuk gergasi Catalan itu, tidak termasuk perlawanan persahabatan, yang mana sesetengah peminat menganggap gol rasmi.”

“Pele juga sudah mengucapkan tahniah kepada pemain bernombor 10 Barca itu, ‘kisah seperti kita, cinta kepada satu kelab untuk tempoh yang lama, sayangnya ia semakin jarang untuk kita temui dalam dunia bola sepak’, tulis Pele di laman media sosial miliknya.”

“Walaubagaimanapun, sebahagian laporan akhbar berkenaan hal itu, telah menidakkan semua rekod terhebat jaringan beliau bersama kelab.”

“Pele menjaringkan 1,091 gol untuk Santos. Tapi pihak media menyatakan bahawa Raja bola sepak itu hanya menjaringkan 643 gol sahaja dan 448 jaringan yang beliau jaringkan dalam perlawanan persahabatan tidak dikira, seolah jaringan dia kurang dari orang lain.”

Sekarang terpulang kepada Barca untuk melawan fakta dari Santos itu, mungkin kelab boleh mengeluarkan statistik Messi dalam perlawanan persahabatan untuk kejar 1,091 gol itu.

Boleh tahan juga perangai Santos ni ya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.