Santos Tamatkan Kontrak Robinho Selepas Baru Seminggu Menandatanganinya

Robinho yang baru sahaja menandatangani perjanjian bersama Santos telah membatalkan kontraknya atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Santos sebelum ini menyambut kedatangan Robinho dengan cukup meriah, hal itu terjadi kerana bekas pemain City itu merupakan antara legenda untuk kelab sendiri.

Robinho juga dek kerana sayangnya beliau kepada Santos, beliau telah bersetuju untuk menerima bayaran gaji yang paling minimum untuknya.

Robinho hanya memperoleh pendapatan sekitar £207 sahaja setiap bulan bersamaan dengan sekitar RM1,110.

Dan nilai tersebut merupakan nilai gaji paling minimun di Brazil. Bintang berusia 36 tahun itu sanggup menandatangani perjanjian dengan pulangan yang sangat rendah kerana rasa cintanya pada kelab dan mahu membantu kelab kesayangannya.

Robinho mahu membantu Santos dari segi publisiti dan menaikkan semula martabat kelab dan sanggup menerima gaji yang rendah kerana beliau faham dengan keadaan ekonomi kelab

Bagi Robinho sendiri secara peribadinya, perpindahan ke Santos adalah suatu hal yang sangat membahagiakan dirinya.

Ini adalah perpindahan keenam dalam kariernya, dan sebelum menandatangani perjanjian bersama Santos, Robinho telah beraksi bersama pasukan dari liga Turki, Istanbul Basaksehir.

Baru satu minggu Robinho diumumkan sebagai bintang baru Santos, bekas bintang Real Madrid itu telah mengumumkan persetujuannya bersama kelab untuk pembatalan kontraknya.

Menurut laporan dari laman web rasmi Santos, pihak kelab mahu Robinho menyelesaikan dahulu kes undang-undang yang sedang beliau hadapi.

Robinho kini masih dalam perbicaraan tentang kes pemerkosaan yang melibatkan beliau ketika di Itali.

“Sehingga pemain dapat memberikan konsentrasi secara eksklusif kepada isu mempertahankan diri dalam proses yang sedang berlangsung di Itali,”

Tulisan di laman web rasmi Santos.

Sementara itu pula, ada yang beranggapan bahawa kontrak Robinho dibatalkan kerana desakan dan tekanan daripada penaja yang tidak mahu ada kaitan sama sekali dengannya.

Santos kini ditaja oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pergigian, Orthopride.

Orthopride tidak mahu imej syarikat mereka rosak akibat dari penglibatan mereka bersama seorang yang tertuduh dengan kes memperkosa seperti Robinho.

Bahkan Orthopride juga memutuskan untuk membatalkan perjanjian tajaan tersebut kerana mahu menghormati pelanggan wanita mereka.

Dalam masa yang sama pula, Santos sendiri kini sangat memerlukan dana daripada penaja selepas kedudukan ekonomi kelab terjejas teruk ekoran dari penularan wabak Koronavirus.

Robinho telah dituduh bersalah oleh mahkamah Itali pada tahun 2017 yang lalu dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun atas dakwaan memperkosa seorang gadis secara berkumpulan.

Namun Robinho tidak pernah menjalani hukuman tersebut kerana, ketika hakim menjatuhkan hukuman, beliau berada di Brazil.

Dan oleh kerana itu, hukuman tersebut tidak dapat dijatuhkan keatasnya kerana tidak ada aturan hukum yang memungkinkan pengadilan di Itali mengekstradisi Robinho di Brazil.

Menurut Globo Esporte, syarikat A Orthopride telah menamatkan kontrak penajaan mereka dengan Santos kerana kelab itu menandatangani semula Robinho.

Pembatalan tajaan itu sebagai solidariti dan tanda menghormati wanita yang selama ini antara pelanggan setia yang membeli produk mereka.

Kejayaan Santos mendapatkan Robinho dianggap berita baik kepada kelab sebelum ini. Selepas mereka berdepan dengan masalah kewangan dan kini mereka mendapatkan salah seorang bintang paling popular dalam sejarah mereka.

Robinho sendiri turut menyatakan bahawa beliau sangat senang dan gembira dapat kembali semula ke tempat yang beliau sangat sayangi.

“Ini sentiasa menjadi rumah saya.”

Jelas Robinho.

“Tujuan saya adalah untuk membantu pasukan ini di dalam dan di luar padang. Saya mahu membantu Santos mengakhiri saingan kali ini di kedudukan tertinggi yang boleh.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.