Tonali Telefon Gattuso Minta Izin Guna Jersi No.8 AC Milan

Sandro Tonali kini sudah sah menjadi pemain AC Milan selepas melengkapkan perpindahan dari Brescia.

“AC Milan dengan bangganya mengumumkan telah menandatangani Sandro Tonali dari Brescia Calcio secara pinjaman dengan pilihan untuk menjadikannya perpindahan tetap.

“Pemain itu akan menyarung jersi No.8,” kata AC Milan dalam satu kenyataan.

Tetapi tahukan anda bahawa jersi No.8 sangat signifikan di Milan sehingga Tonali perlu memohon keizinan dari pemakai sebelumnya.

Antara legenda Milan yang pernah menyarung jersi No.8 di Milan adalah Frank Rijkaard dan Gennaro Gattuso.

Sebelum melengkapkan perpindaham ke Milan, Sandro Tonali dikhabarkan menelefon Gennaro Gattuso untuk meminta izin menggunakan nombor jersi yang pernah dipakai oleh pemain legenda itu di San Siro.

Sandro Tonali sendiri adalah peminat kepada bekas pemain tengah Itali itu dan kedua-duanya mempunyai hubungan yang sangat baik.

Gattuso juga dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk pemain tengah berusia 20 tahun itu menyarung jersi ikonik No.8 itu.

Tindakan Tonali mungkin dianggap aneh oleh sesetengah pihak. Namun dengan memohon kebenaran daripada Gattuso, jelas sekali pemain berbakat besar itu faham erti sebenar menyarung jersi Rossoneri.

Tonali dianggap sebagai salah seorang prospek hangat di pasaran pemain eropah.

Prestasi hebat beliau bersama Brescia pada musim lalu bermakna pemain ini akan disambar oleh kelab-kelab utama eropah bila-bila masa sahaja.

Disamakan dengan Andrea Pirlo, Tonali telah menjaringkan enam gol serta menghasilkan 16 bantuan gol daripada 89 penampilan untuk Brescia.

Tonali telah pun dipanggil untuk mewakili skuad senior Itali dan telah mengumpul tiga kaps di peringkat antarabangsa sejak 2019. Beliau juga telah membuat 11 penampilan bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) Itali dan lima penampilan untuk skuad B-21.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.