Salahkan Bekas Pemain, Man Utd Pertingkat Kawalan Keselamatan Di Kediaman Ed Woodward

Kawalan keselamatan di sekitar kediaman Ed Woodward akan dipertingkatkan menjelang tarikh tutup jendela perpindahan di England.

Ia berikutan timbul kerisauan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United itu menjadi sasaran kemarahan penyokong Red Devils yang kecewa.

Tidak kurang 20 individu tidak dikenali dipercayai penyokong Man Utd menyembur kediaman Woodward dengan cat, membaling suar, dan melontar bom asap dalam satu insiden yang berlaku pada akhir jendela perpindahan Januari tahun ini.

Penyokong-penyokong tersebut dipercayai marah kerana kurangnya aktiviti perpindahan pemain, walaupun pada ketika itu United sangat hampir mengesahkan ketibaan Bruno Fernandes dengan nilai £47 juta.

Pada jendela perpindahan kali ini, United dilihat bergelut untuk mendapatkan pemain yang mereka mahukan jika dibanding dengan pesaing lain di kalangan 6 kelab utama di England.

Kekecewaan di kalangan penyokong semakin memuncak apabila sehingga kini United masih gagal membawa masuk Jadon Sancho yang dikatakan sasaran utama Ole Gunnar Solksjaer di jendela perpindahan kali ini.

Ia difahamkan kawalan keselamatan di kediaman Woodward yang terletak di Cheshire telah dipertingkatkan sejak insiden pada Januari itu.

Woodward, isteri, dan dua anaknya turut menerap di sebuah kediaman yang terletak di London – di mana mereka meluangkan kebanyakkan masa.

Tiada ahli keluarga Woodward berada di kediaman mereka di Chesire ketika ia menjadi sasaran serangan penyokong Man United pada Januari lalu.

Insiden yang turut dirakam dan menjadi tular di media sosial itu dibidas oleh Manchester United dan komuniti bola sepak, dan dilabel sebagai tindakan pengecut.

Pada Sabtu pihak kelab berkata mereka tidak menerima sebarang perkhabaran yang boleh mengancam keselamatan Woodward.

Namun demikian pihak pengurusan tertinggi di Old Trafford percaya kritikan terbuka bekas pemain seperti oleh Gary Neville yang secara terbuka mengkritik Woodward dalam urusan perpindahan mampu mencetuskan insiden serupa.

Bulan lalu Neville tidak berselindung membidas kegagalan Woodward membawa masuk Sancho dan berkata ‘kelab [Man Utd] sudah tidak mempunyai autoriti dan kuasa di pasaran pemain.’

United bagaimanapun bertegas mereka sentiasa memberikan sokongan kewangan yang diperlukan oleh Ole Gunnar Solksjaer, dan memberi jaminan kelab mampu berbelanja lebih banyak jika tidak kerana masalah yang dibawa oleh penularan wabak.

Krisis ekonomi akibat penularan wabak dunia dipercayai telah menyebabkan United kerugian £165 juta setakat ini.

Tindakan mengeluarkan Alexis Sanchez dari senarai pemain turut memberi impak jangka pendek kerana pampasan tinggi yang perlu dibayar kepada pemain itu.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.