Saksikan Penjaga Gol Pertahan Free Kick Dari Benteng, Evolusi Taktikal Paling Maju Abad Ini?

Peraturan pertama bola sepak ditulis di London 157 tahun yang lalu. Namun ia tidak menghalang permainan bola sepak terus berevolusi dengan pelbagai perubahan untuk terus ke hadapan.

Di era moden, taktikal di dalam bola sepak turut mengalami perubahan ketara sesuai dengan peredaran zaman. Bayangkan formasi 1-1-8 yang pernah digunakan pada permulaan era, dan kemudiannya sistem 4-5-1 yang lebih metaforik.

Pada hari ini pula taktikal bola sepak menuntut keperincian peranan setiap pemain daripada pemain penyerang sehinggalah kepada penjaga gol.

Dan bercakap mengenai peranan dan penjaga gol, sebuah pasukan dikenali sebagao Siarka Tarnobrzeg yang beraksi di divisyen keempat di Poland tampil dengan evolusi taktikal tersendiri mengenai peranan penjaga gol – jika video yang tular ini diperhatikan.

Penjaga gol pasukan Siarka Tarnobrzeg dikenali sebagai Hieronim Zoch berusia 30 tahun. Dalam perlawanan itu, Zoch diarah berdiri bersama benteng untuk mempertahankan percubaan dari sepakan percuma.

Bagi kebanyakkan kita tindakan Zoch itu dilihat sebagai tindakan berani mati. Atau adakah ia sebenarnya satu lagi kaedah berkesan untuk meneutralkan ancaman dari set pieces?

Petimbangkan realiti ini ketika sepakan percuma tersebut diambil:

Pertama, sepakan tersebut diambil dari bahagian tengah. Satu-satunya untuk menghadirkan ancaman ialah dengan memastikan bola melepasi benteng pemain.

Kedua, disebabkan jarak, bola yang disepak tidak boleh melalui trajektori terlalu tinggi. Ini bermakna ia boleh dicapai dengan tangan jika berada di posisi hadapan benteng pemain.

Jadi mengapa tidak letakkan sahaja penjaga gol bersama benteng pemain di hadapan untuk cuba mematikan sepakan dari hadapan?

Bolehkah ini dijadikan kaedah terbaru untuk bertahan dari sepakan percuma? Tampak seperti bunuh diri, tetapi logik. Dan dalam perlawanan ini ianya berkesan!

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.