Saksikan Jaringan ‘Sonaldo’ Son Heung-Min Raih Anugerah Gol Terbaik EPL

Gol jaringan pemain dari Korea Selatan, Son Heung-Min telah dinobatkan sebagai Gol Terbaik Premier League 2019/20.

Gol solo oleh Heung-Min itu dihasilkan dalam perlawanan menentang Burnley pada Disember lalu.

Tottenham sudah pun mendahului 2-0 apabila bintang Korea Selatan itu menjaringkan gol tersebut.

Jose Mourinho tidak menyembunyikan kekaguman beliau terhadap jaringan tersebut.

Malah jurulatih dari Portugal itu menyamakan gol solo Son ketika membantu Tottenham Hotspur menang 5-0 ke atas Burnley dengan gol yang pernah dijaringkan oleh Ronaldo.

Dalam perlawanan tersebut, Son menerima bola dari luar kotak penalti, sebelum melakukan larian yang menewaskan hampir keseluruhan pasukan Burnley sebelum menewaskan Nick Pope – untuk jadi bintang perlawanan yang jelas berat sebelah.

Jaringan dan larian tersebut disifatkan oleh bekas penyerang Tottenham, Gary Lineker sebagai ‘Goal of the season’. Mourinho pula melihat persamaan gol tersebut dengan jaringan yang pernah dilakukan oleh bintang Barcelona, Ronaldo dalam perlawanan menentang Compostela pada 1996.

Mourinho adalah pembantu pengurus kepada Bobby Robson di kelab Catalan tersebut pada ketika itu. Malah beliau menganggap Ronaldo sebagai pemain terbaik yang pernah beliau saksikan selepas menyaksikan jaringan oleh Ronaldo itu pada 1996.

Pengurus Tottenham itu berkata Son kini sudah memiliki nama gelaran baharu yang diberikan anaknya ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

“Ia gol yang sangat hebat. Walaupun sebelum jaringan tersebut, anak lelaki saya telah menggelar beliau sebagai ‘Sonaldo’ semepena Ronaldo Luis Nazario,” kata Mourinho dalam sidang media selepas perlawanan.

Saksikan jaringan oleh SONALDO seperti di bawah.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.