Safee Sali Masih Menunggu Panggilan Tan Cheng Hoe

Bekas penyerang prolifik kebangsaan dan pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee Sali sesekali tidak pernah padam keinginannya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Hasrat itu tidak pernah padam dari jiwanya yang terus mendambakan aksi bersama dengan pasukan kebangsaan.

Penyerang pasukan PJ City FC itu turut menafikan beliau kini berada di penghujung kariernya. Malah Safee Sali menegaskan sedia dipanggil semula untuk membantu menguatkan jentera serangan pasukan negara yang kini dalam misi untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Safee Sali pernah menyatakan hasrat itu beberapa bulan yang lalu. Dan beliau tidak pernah mengubah pendiriannya tentang perkara itu.

“Saya pernah cakap mengenai perkara ini dan ia masih sama. Keinginan itu masih ada kerana saya masih lagi bermain dan saya masih aktif dalam karier.

“Saya juga tidak pernah menyatakan untuk memadam hasrat daripada bermain untuk skuad kebangsaan.

“Selagi saya bermain, selagi saya masih boleh menyumbangkan sesuatu dalam permainan bola sepak untuk negara, saya sedia untuk dipanggil jika diberi peluang,” katanya.

Penampilan terakhir Safee bersama skuad kebangsaan adalah ketika Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Filipina dalam aksi persahabatan pada Mac 2017.

Safee yang pernah beraksi bersama beberapa kelab antaranya Selangor, Pelita Jaya FC (Indonesia), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC sudah mencetak 23 gol sepanjang 79 penampilannya bersama skuad kebangsaan.

Dengan pengalaman luas dimiliki, beliau optimis mampu menyumbang sesuatu terutama di posisi penyerang utama skuad kebangsaan. Beliau juga melihat seperti ada kekosongan di dalam pasukan Harimau Malaya.

Jadi, kenapa tidak beliau mencuba untuk memenangi hati Tan Cheng Hoe bagi membolehkannya menunjukkan apa yang beliau mampu lakukan pada usianya kini.

“Sumbangan itu mungkin dari segi pengalaman saya dan dari segi permainan di posisi yang saya bermain (penyerang utama). Saya tengok seperti ada kekosongan (dalam skuad kebangsaan), jadi kenapa tidak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tahap kecergasannya berada di tahap yang baik meskipun aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan sehingga September depan.

Beliau sentiasa melakukan latihan intensif di rumahnya sepanjang PKP. Dan sering berkongsi video latihannya dengan para peminatnya.

“Saya cuba untuk kekalkan tahap kecergasan sebelum latihan sebenar bermula nanti dan sebagai pemain kami memang ikut program latihan disediakan jurulatih. Tetapi sentuhan bola di rumput padang memang saya sebagai pemain sangat rindukan sekarang,” katanya.

Mungkinkah ada ruang untuk Safee Sali untuk kembali beraksi bersama dengan skuad kebangsaan?

Tan Cheng Hoe pasti akan cuba mempertimbangkan nama beliau dan amatlah penting untuk Safee Sali menunjukkan prestasi cemerlangnya di atas padang terutama sekali apabila Liga Malaysia kembali bersambung kelak.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.