Safawi Rasid Akan Kembali Ke Pangkuan JDT

Penyerang skuad kebangsaan yang sedang berkelana di Portugal, Safawi Rasid akan kembali menyertai JDT apabila kontrak beliau secara pinjaman bersama Portimonense SC tamat pada penghujung tahun ini.

Perkara itu didedahkan oleh pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam satu rancangan temubual bersama Astro Arena sebentar tadi.

Sebelum ini penyerang sayap berusia 23 tahun itu menyertai Portimonense SC di Liga Primeira Portugal pada Oktober lalu selepas tamat saingan Liga Super Malaysia.

Bagaimanapun Safawi sukar mendapatkan minit perlawanan yang dikehendaki bersama pasukan baharunya itu.

Satu-satunya penampilan Safawi bersama kelab itu ialah bersama skuad Bawah-23 tahun dalam satu perlawanan persahabatan.

Walaupun kini berada di dalam skuad utama, Safawi hanya berada di bangku simpanan dan tidak diturunkan beraksi walaupun dalam satu perlawanan setakat ini.

Pengumuman oleh Tunku Ismail tersebut bermakna Safawi akan bersama JDT untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.