Sadio Mane Menang Pemain Terbaik EPL Bulan November

Pemain sensasi kelahiran Senegal iaitu Sadio Mane membuktikan bahawa pemain Afrika tiada masalah untuk bermain gegenpressing mahupun free flowing football.

Beliau menjadi pemain penting Jurgen Klopp dan baru sahaja diiktiraf sebagai pemain terbaik bulanan EPL untuk November 2019.

Mane memiliki gaya permainan yang laju dan lasak. Selain daripada keupayaan untuk mencipta gol dan menjaringkan gol.

Sadio Mane bermain 4 perlawanan liga untuk Liverpool sepanjang November. Beliau menjaringkan 3 gol dan mencipta 1 assist.

Beliau turut menjaringkan 1 gol penting ketika Liverpool menang ke atas Aston Villa. Gol tersebut dilakukan pada masa kecederaan. Sadio Mane menanduk masuk hantaran lintang kemas menerusi sepakan penjuru.

Sepakan penjuru tersebut diambil oleh Trent Alexander Arnold yang disambar Mane dengan keberanian dan teknik sempurna.

Ianya antara detik paling penting untuk Liverpool sepanjang November lalu.

Sadio Mane membantu Liverpool menang kesemua 4 perlawanan Liga Perdana Inggeris pada November termasuk menewaskan Manchester City.

Di dalam perebutan anugerah pemain terbaik bulanan EPL untuk bulan November, Sadio Mane telah menewaskan beberapa calon lain.

Mereka ialah Jamie Vardy, Caglar Soyuncu, Dele Alli, Song Heung Min, Raul Jimenez dan Lys Mousset.

Sadio Mane membantu Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam liga meskipun jadual sangat padat.

Pada ketika ini pasukan yang berpangkalan di Merseyside itu masih mendahului pencabar lain. Mereka 8 mata di atas Leicester dan 14 mata di atas Manchester City.

Sejak menyertai Liverpool Sadio Mane telah menjadi pemain penting Jurgen Klopp. Beliau juga semakin tajam di hadapan gol.

Buktinya, musim lalu Sadio Mane menang kasut emas EPL, penghargaan kepada penjaring terbanyak.

Mane berkongsi anugerah itu musim lalu bersama Mohamed Salah dan Pierre Emerick Aubameyang untuk musim lalu.

Musim ini, setakat ini Sadio Mane sudah menjaringkan 9 gol untuk pasukan Liverpool. Beliau ketika ini merupakan penjaring gol utama untuk pasukan Liverpool.

Sadio Mane juga pemain yang mendapat pujian daripada Lionel Messi. Apabila kapten Argentina itu mengundi Mane sebagai pemain terbaik dunia ketika undian Ballon d’Or.

Adalah difahamkan ini merupakan pengiktirafan individu kedua diterima Sadio Mane untuk November.

Sebelum ini beliau turut diberikan Anugerah Standard Chartered Pemain Terbaik Bulanan (Liverpool) untuk bulan November 2019.

Pastinya kejayaan ini akan menjadi pemangkin semangat dan motivasi Sadio Mane untuk terus cemerlang di atas padang.

Misi Mane sekarang adalah untuk membantu Liverpool mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool dalam kedudukan terbaik ketika ini dengan berada di tangga teratas liga dengan jurang mata yang agak besar.

Sadio Mane akan memburu 1 lagi piala pada Disember iaitu Piala Dunia Kelab FIFA di Qatar.

Adakah Mane akan mampu membantu Liverpool menjulang piala tersebut?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.