Sadio Mane Dedah Kenapa Beliau Menolak Tawaran Manchester United

Sadio Mane semakin meningkat naik sejak menyertai Liverpool daripada Southampton dan telah dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika serta menjadi antara pemain terbaik dunia ketika ini.

Sebelum menyertai Liverpool, Sadio Mane terlebih dahulu mendapat tawaran daripada Manchester United namun perjanjian dan pembelian tidak terjadi.

Pemain sayap Liverpool itu akhirnya membuka mulut mengenai minat yang ditunjukkan Manchester United terhadapnya lima tahun lepas dan punca sebenar beliau menolak tawaran dari kelab tersebut pada ketika itu.

Manchester United pada ketika itu dilatih oleh Louis Van Gaal dan beliau sedang mencari seorang pemain sayap untuk dibawa masuk dalam skuadnya.

Van Gaal gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Barcelona, Pedro yang memilih untuk menyertai Chelsea.

Beliau kemudian beralih arah kepada Southampton dan mengenal pasti Mane sebagai pemain yang mampu memperkuatkan skuad United, terutamanya di bahagian sayap.

Mane pula baru sahaja menyertai Southampton dari Red Bull Salzburg pada tahun 2014. Tawaran Manchester United tiba pada musim panas 2015, setahun selepas beliau menyertai kelab tersebut.

Van Gaal gagal dalam usahanya untuk membawa masuk Mane ke Old Trafford dan beralih arah mendapatkan pemain muda Perancis dari Monaco, Anthony Martial yang pada ketika itu baru berusia 19 tahun.

Sekarang boleh dilihat di mana kedudukan sebenar antara Sadio Mane dan Anthony Martial yang diramal menjadi pemenanga Ballon d’Or.

Mane bermain untuk Southampton selama semusim lagi sebelum Liverpool datang memanggil pada tahun 2016.

Southampton akhirnya menerima tawaran berjumlah £34 juta dari Liverpool untuk Mane dan sejak daripada itu, permainan Mane semakin meningkat sehingga diangkat sebagai pemain sayap terbaik dalam Liga Perdana Inggeris buat masa ini.

Pemain antarabangsa Senegal itu menceritakan kembali detik ketika mengetahui minat yang ditunjukkan Manchester United terhadapnya pada tahun 2015 dan mengapa beliau menolak lamaran tersebut.

“Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku. Beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan saya. Manchester United bukanlah pasukan yang sesuai dengan saya. Sudah tentu, saya ada bercakap dengan Louis Van Gaal dan mereka juga membuat tawaran kepada Southampton untuk membeli saya.”

“Tetapi bagi saya, Manchester United bukan kelab yang tepat bagi saya pada ketika itu. Anda perlu merasai perkara ini ketika memilih kelab, sama ada kelab tersebut kelab yang betul, masa yang sesuai untuk berpindah dan jurulatih yang sesuai.”

Manchester United mungkin menyesal dengan kegagalan mereka mendapatkan Mane kerana pemain tersebut telah menjadi pemain terbaik Afrika dan juga antara pemain handalan dunia.

Sejak perpindahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid pada tahun 2009, United bergelut untuk mencari pemain sayap yang berkaliber untuk menggantikan tempat Ronaldo.

Mereka membawa masuk pemain seperti Antonio Valencia, Bebe, Wilfred Zaha, Memphis Depay dan Angel di Maria tetapi semua kecundang.

Valencia ditukar menjadi bek kanan manakala Bebe dan Zaha masing-masing hanya beraksi dalam 11 perlawanan sahaja untuk Red Devils.

Sehingga ke hari ini tiada pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo apatah lagi untuk menjadi teman pengganti.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.