Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal telah mengesahkan pihak beliau menerima surat dari FIH yang menyatakan bahawa penjaga gol hoki kebangsaan, S.Kumar positif bahan terlarang.
Satu ujian rambang dilakukan ketika perlawanan menetang Oman. Dengan keputusan makmal ini, S. Kumar akan digantung daripada semua aktiviti hoki untuk tempoh 2 tahun.
S. Kumar boleh mengemukakan rayuan pada Januari 2018. Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu media:
“Ianya bukan jenis bahan yang digunakan untuk meningkatkan prestasi atlet. Malangnya, ada sedikit kandungan didapati di dalam badan S. Kumar dan FIH telah mengambil tindakan.”
Sebagai rekod, S.Kumar dianggap sebagai penjaga gol terbaik dalam sejarah hoki Malaysia dan juga dunia. Beliau memiliki 295 kaps untuk pasukan kebangsaan.
Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan pemain legenda itu sudah menjalani kira-kira 10 ujian doping sebelum ini dan tidak ada satu pun yang positif.
“Kami menentang sepenuhnya sebarang aktiviti doping dan kami akan cuba mengikuti segala proses yang diperlukan.”
KHM memberikan sokongan penuh kepada S.Kumar dan yakin pemain itu bukan atlet yang kotor. Namun buat masa ini, S.Kumar memberitahu yang beliau tidak akan menentang keputusan FIH. S. Kumar berkata:
“Saya terima keputusan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa). Daripada membuang masa meminta sampel B yang mana ujian air kencing adalah sama, lebih baik saya terima keputusan ini dan hadir pada sesi pendengaran untuk mendapatkan keputusan lebih baik.”

“Ini kerana saya yakin tak pernah buat perkara seperti ini. Saya mahukan keputusan yang cepat sebab kalau lambat lagi banyak masalah yang akan dihadapi.”
“Lebih cepat keputusan dibuat, mungkin saya boleh kembali bersama skuad negara secepat mungkin. Saya rasa hampir kebanyakan kejohanan yang saya pergi, saya akan diminta menjalani ujian doping.”
“Malah ketika saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, saya bukan saja perlu melalui ujian air kencing, malah ujian darah juga.”
“Sebab itu saya hadir di Bangladesh dengan keyakinan tinggi dan langsung tidak ada perasaan takut sebab tahu tak ambil semua bahan terlarang itu.”
“Selama ini saya beraksi dengan keyakinan diri sendiri. Sebab itu apabila dimaklumkan positif kali ini, saya rasa pelik dan terkejut.”
Datuk Seri Subahan Kamal meminta semua pihak terbuka untuk memberikan peluang dan mendengar penjelasan daripada S.Kumar berkaitan dengan hal tersebut.
Dalam pada masa yang sama, Datuk Seri Subahan Kamal masih berharap hukuman 2 tahun itu akan dipertimbangkan selepas mendengar penjelasan S.Kumar. Ini kerana tempoh 2 tahun itu sangat lama.