Rui Pinto, Hacker Yang Kantoikan Man City Kini Diletakkan Di Bawah Program Perlindungan Saksi

Rui Pinto, lelaki Portugis yang di sebalik Football Leaks yang kantoikan Manchester City kepada UEFA mengenai Financial Fair Play (FFP) telah dibebaska dari tahanan rumah dan diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Pendakwa berkata Pinto yang berusia 31 tahun adalah pencipta Football Leaks – laman yang membocorkan 70 juta dokumen sulit dan mendedahkan urusniaga kelab-kelab eropah termasuk yuran perpindahan, kontrak dan maklumat lain berkaitan agensi pemain.

Peguam Pinto melabel beliau sebagai pemberi maklumat/’whistleblower’ yang bertindak atas kepentingan awam.

Pinto ditahan di Hungary pada January tahun lalu menggunakan waran tahanan eropah yang dikeluarkan oleh penguatkuasa Portugal. Beliau kemudiannya diekstradisi kembali ke negara asalnya.

Pendakwaraya di Portugal memberikan pelbagai pendakwaan untuk Pinto, kebanyakkannya kerana menceroboh data sulit, cubaan melakukan peras ugut, dan melanggar peraturan kerahsian surat menyurat.

Pinto telah berada dalam tahanan di Lisbon sejak Mac 2019 untuk pra pendakwaan sebelum dibenarkan menjadi tahanan rumah pada April tahun lalu. Beliau dibebaskan pada hujung minggu lalu.

Polis Siasatan Jenayah Portugal dalam satu kenyataan mengesahkan Pinto kini berada di bawah program perlindungan saksi dan beliau berhak menggunakan segala hak yang ada mengikut undang-undang sepanjang siasatan dan perbicaraan.

Perbicaraan kes Pinto akan bermula pada bulan hadapan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.