Rooney Pernah Merayu-rayu Kepada Xavi Supaya Berhenti Membuli Manchester United

Wayne Rooney pernah merayu meraih simpati ketika skuad Manchester United dibuli teruk oleh Barcelona dalam aksi perlawanan akhir Champions League pada tahun 2011.

Kira-kira sedekad yang lalu, legenda Manchester United itu terpaksa merayu-rayu kepada Xavi supaya berhenti membuli pasukannya.

Gergasi Catalan itu telah mempamerkan aksi permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di Wembley itu.

Persembahan mantap para pemain Barcelona ketika itu berjaya membantu mereka untuk menewaskan Manchester United 3-1 seterusnya menjulang kejuaraan Champions League.

Kejayaan menewaskan setan merah itu juga merupakan kejayaan kedua Barca menjulang Piala kejuaraan Champions League dalam tempoh tiga musim terakhir ketika itu.

Persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain Barcelona ketika itu merupakan kemuncak kepada era kegemilangan Pep Guardiola sebagai pengurus kelab.

Wayne Rooney yang menjaringkan gol penyamaan untuk setan merah pada aksi babak pertama permainan pada ketika itu, telah merayu-rayu kepada Xavi supaya tidak membuli pasukannya.

Lebih kurang 10 minit sebelum wisel penamat dibunyikan, ketika itu lah Rooney sudah tidak sanggup melihat rakan sepasukannya dipermalukan oleh para pemain Barca yang mendominasi permain seperti bermain dengan skuad kanak-kanak bawah sembilan tahun.

“Sudah cukuplah, kamu sudah menang. Kamu boleh berhenti bermain seperti ini sekarang.”

Ia dikatakan ayat yang tidak habis-habis disebut oleh Rooney menurut Sergio Busquets dalam satu temu bualnya bersama The Guardian tahun lalu.

Pedro, Lionel Messi dan David Villa merupakan penjaring gol yang membantu Barcelona menewaskan Man Utd 3-1 pada ketika itu.

Perlawanan tersebut juga dianggap aksi tiki-taka terbaik pernah dimainkan oleh Barca dibawah kendalian Pep Guardiola.

Kehebatan mereka mengawal dan mendominasi permainan telah membuatkan Sir Alex Ferguson begitu bengang hingga menggenggam penumbuk menjelang lima minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas tamat perlawanan tersebut, legenda terhebat sepanjang zaman United itu mengakui bahawa beliau tidak pernah melihat setan merah ditindas sedemikian rupa oleh pasukan lawan.

Beliau juga mengakui yang skuad Barcelona pada ketika itu merupakan pasukan paling sukar yang pernah dihadapi dalam kariernya.

“Tidak ada sesiapa yang mampu membuatkan kami diaibkan seperti itu, tapi mereka memang berhak untuk menang.”

Jelas Ferguson kepada BBC Sport.

“Mereka bermain dengan cara yang betul dan mereka benar-benar menikmati bola sepak. Mereka mampu mengelirukan kamu dengan hantaran dan kami tak pernah benar-benar boleh mengawal Messi. Dan ramai orang katakan itu.”

“Selama saya bergelar pengurus, mereka adalah pasukan terhebat yang pernah saya hadapi.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.