Ronaldo Langkaui 100 Gol Antarabangsa Dengan Dua Gol ‘World Class’ Ini

Portugal sekali lagi perlu berterima kasih kepada pemain bintang, Cristiano Ronaldo apabila jaringan ke-100 antarabangsa pemain itu berjaya memecah kebuntuan ketika menentang Sweden.

Gol ke-100 diikuti dengan gol ke-101 antarabangsa oleh Ronaldo membenarkan Portugal menang 2-0 menentang 10 pemain Sweden di perlawanan UEFA Nations League (UNL) pada awal pagi tadi.

Ronaldo merupakan pemain kedua dari Portugal yang berjaya menjaringkan gol mencecah 100 gol, setelah berjaya menyempurnakan sepakan percuma menakjubkan pada babak akhir separuh masa pertama.

Sepakan percuma tersebut diberikan kepada Portugal selepas Gustav Svensson menerima arahan keluar padang buat Sweden yang beraksi selaku tuan rumah.

Ronaldo kemudiannya menambah satu lagi gol canttik pada minit ke-72 perlawanan untuk memastikan jaringan yang ke-101 antarabangsa.

Dalam perlawanan ini, skuad kendalian Fernando Santos terlebih dahulu diancam oleh Sweden pada awal permainan, namun tandukan Marcus Berg gagal menepati sasaran.

Pasukan pelawat turut memiliki peluang yang dipersia-siakan apabila Pepe gagal menyempurnakan hantaran lintang cantik Bernardo Silva yang kemudiannya mengalami kecederaan.

Ronaldo sendiri turut dinafikan beberapa peluang keemasan selepas Robin Olsen menampilkan aksi menakjubkan untuk menyelamatkan percubaan pemain Juventus itu.

Namun segalanya jelas berakhir buat Sweden apabila Svensson yang sudah menerima layangan kad kuning, sekali lagi melakukan terjahan liar terhadap Joao Moutinho, dan dilayankan kad kuning kedua.

Ronaldo memastikan sepakan yang diambil menuju ke penjuru atas sebelah kiri gawang untuk menamatkan penantian 10 bulan tanpa jaringan antarabangsa.

Dalam usaha Portugal memburu lebih banyak gol, percubaan pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes yang dilihat tajam dengan gerakan sepanjang perlawanan, sekadar mengegarkan palang.

Kemudian giliran Ronaldo menjaringkan gol ke-101 untuk memastikan tiga lagi mata menjadi milik Portugal.

Babak akhir perlawanan Portugal boleh menambah satu lagi gol, namun Joao Felix yang cemerlang dalam perlawanan menentang Croatia gagal menyempurnakan hantaran bola rendah Fernandes.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.