Ronaldo Kena Palau Dek Kerana Rakan Sepasukan Meluat Dengan Keistimewaan Yang Beliau Miliki

Cristiano Ronaldo merasakan dirinya seperti dipalau dengan laporan dari media Itali mendakwa bahawa hubungan beliau dengan rakan sepasukannya sangat renggang ketika ini.

Menurut sumber laporan akhbar, La Gazzetta dello Sport, alasan mengapa pemain lain tidak begitu menghiraukan Ronaldo adalah kerana rasa tidak puas hati mereka.

Para pemain Juventus tidak berpuas hati kerana melihat Ronaldo menerima terlalu banyak layanan istimewa dan sering diutamakan berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Contoh terbaru adalah ketika semua pemain Juventus perlu datang awal dan menjalani latihan tambahan selepas kekalahan 3-0 mereka di tangan AC Milan, hanya Ronaldo sahaja yang tidak ikut bersama.

Bintang Portugal itu tidak ikut menjalani latihan tambahan bersama pemain lain kerana beliau pergi mengambil Ferrari bernilai £1.4 juta miliknya.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu dilaporkan telah ditemani oleh Presiden Juventus, Andrea Agnelli ketika beliau pergi mengambil Ferrari miliknya itu.

Hal tersebut menguatkan lagi dakwaan yang mengatakan bahawa Ronaldo sememangnya menerima layanan yang begitu istimewa berbanding pemain lain.

Hal tersebut menyebabkan Ronaldo sering dipalau oleh pemain lain dan hanya penjaga gol simpanan, Carlo Pinsoglio sahaja yang dilihat pernah bersamanya di luar padang.

Terdapat pelbagai spekulasi yang menyatakan bahawa pemain berusia 36 tahun itu akan meninggalkan Turin pada musim panas ini, walaupun kontraknya bersama Juventus masih berbaki setahun.

Ronaldo sudah berjaya capai apa yang Juventus harapkan darinya dengan menjadi penjaring terbanyak saingan Serie A musim ini.

Beliau berjaya meledak 29 gol dalam aksi saingan Serie A musim ini, namun sejak kehadirannya dalam tempoh tiga tahun terakhir ini, Juventus telah mengalami kemerosotan prestasi.

Walau bagaimanapun, Cristiano Ronaldo tidak boleh dipersalahkan atas kemerosotan prestasi Juventus ketika ini, dengan ramai yang beranggapan The Old Lady perlu membuat rombakan dalam skuad mereka.

Ramai juga yang merasakan Andrea Pirlo masih belum cukup berpengalaman untuk menguruskan Juventus dan bersaing di pentas yang besar.

Dan andai benar Ronaldo ketika ini dipalaukan oleh rakan sepasukannya, beliau berkemungkinan besar akan meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Paris Saint Germain dan Manchester United dilaporkan sedang memantau perkembangan beliau ketika ini dan terdapat juga laporan yang menyatakan Ronaldo berminat untuk kembali beraksi bersama Sporting CP.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.