Ronaldinho Perolehi Durian Runtuh Selepas Keluar Penjara

Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho dikhabarkan menerima durian runtuh selepas kini mampu menghirup udara segar setelah dipenjarakan selama lima bulan di Paraguay.

Sebelum ini Ronaldinho dan abangnya Robeerto de Asis telah ditahan dan didapati bersalah kerana memasuki Paraguay menggunakan dokumen palsu. Akibatnya kedua-dua mereka dipenjarakan selama 171 hari.

Pelbagai isu dan kontroversi telah timbul membabitkan Ronaldinho sehingga menyebabkan status kewangan beliau terjejas dan hampir terancam untuk muflis.

Pendedahan dari Football-Italia pada 2018 misalnya , melaporkan bahawa Ronaldinho kini hanya memiliki wang simpanan sekitar €5 atau lebih kurang (RM23.86) di dalam akaun kewangan peribadi miliknya.

Lebih parah, Ronaldinho dilaporkan sedang terjerat dengan krisis hutang dengan jumlah nilai yang tinggi disebabkan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh kerajaan Brazil.

Mujurlah beliau sempat membayar wang jaminan untuk dikeluarkan dari tahanan di Paraguay yang mencecah 66 ribu pound.

Tetapi keadaan kini berubah selepas Ronaldinho dikeluarkan dari penjara. Malah bekas pemain Barcelona dan AC Milan itu kini dibanjiri dengan tajaan dan iklan yang memberikan pendapatan mencecah 700 ribu pound sterling, atau bersamaan dengan RM3.8 juta

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat dari masa ke semasa, asalkan Ronaldinho mampu menjaga reputasinya.

Dalam perkembangan lain media Le Pais melaporkan Ronaldinho kini turut diangkat sebagai warga terhormat Belo Horizonte, iaitu sebuah kota yang terletak di utara Brazil.

Beliau mendapat penghormatan itu kerana penglibatan di dalam dunia muzik yang mengangkat nama wilayah tersebut.

Ronaldinho dipercayai membuka studio di kota tersebut dan merakam lagu dengan kerjasama rapper Djonga dan Recayd Mob.

Ronaldino kini turut mulai mengembangkan perniagaan anggur dan pembuatan wain jenama beliau sendiri.

Ladang penghasilan anggur Ronaldinho di Brazil kini turut semakin luas selepas beliau melabur hasil keuntungan dari penglibatan dalam permainan video FIFA 21 dan PES ke dalam bisnes itu.

Walaupun kini sudah tidak lagi dipenjara, Ronaldinho masih tidak bebas seperti kehidupannya sebelum ini. Ronaldinho kini masih dihalang keluar dari Brazil, dan perlu melaporkan diri setiap bulan kepada pihak berkuasa selama dua tahun.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.