Ronaldinho Mengenang Kembali Gol Debut Bersama Barcelona – “Permulaan Kepada Segalanya”

Ronaldinho kekal menjadi pemain bola sepak ikonik dan legenda Barcelona. Dan setelah 20 tahun sejak melakukan debut menentang Sevilla, Ronaldinho kembali mengenang jaringan yang dilakukannya dalam perlawanan itu.

Ketibaan Ronaldinho di Nou Camp menandakan bermulanya era baru untk gergasi Catalan tersebut pada ketika itu.

“Ia amat istimewa, perlawanan yang unik, dan lain daripada yang lain,” ujar Ronaldinho dengan senyuman melalui dokumentari baharu mengenai dirinya, The Album: Ronaldinho.

“Ia adalah permulaan kepada segalanya.”

Gol debut oleh Ronaldinho dijaringkan di hadapan ribuan penyokong Barca di Nou Camp pada 3 September 2003.

Anda juga mungkin telah menyaksikannya berulang kali sebelum ini.

Victor Valdes membaling bola kepada Ronaldinho di sebelah kiri padang, dan pemain Brazil itu melarikannya sejauh 50 meter seirang diri sambil menewaskan dua pemain pertahanan Sevilla.

Larian tersebut kemudiannya disudahkan dengan rembatan padu dari luar kotak penalti, tepat menuju ke bahagian dalam palang gol – cukup untuk mengujakan dunia bola sepak pada ketika itu.

Ronaldinho Gaúcho telah menggumumkan persaraannya dalam arena bola sepak secara rasmi pada awal Januari 2018.

Pemain yang terkenal dengan gelaran ‘King of Skill’ ini telah menjalani karier profesional selama 20 tahun dengan mewakili pasukan kebangsaan Brazil dan beberapa kelab terkenal di Eropah seperti, PSG dan AC Milan.

Ronaldinho pernah dikaitkan bakal menceburi arena politik di Brazil selepas bersara dari bola sepak.

Pada penghujung tahun 2017, Roberto Asis yang juga merangkap sebagai ejen kepada Ronaldinho pernah mengesahkan bahawa bintang Brazil itu sedang membuat penimbangan untuk menyertai dalam dunia politik.

Ronaldinho telah ditawar untuk menjadi calon bagi kerusi senat Brazil daripada parti konservatif Patriota pada pilihan raya persekutuan tahun 2018.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.