Ronald Koeman Selamat Jalani Prosedur Jantung Selepas Mengadu Sakit Dada

Ketua Jurulatih Belanda Ronald Koeman menjalani prosedur jantung pada lewat Ahad di Amsterdam selepas mengadu rasa sakit di dada.

Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) mengesahkan Koeman melalui prosedur tersebut dengan jayanya, dan dikeluarkan dari hospital pada Isnin.

Dalam satu kenyataan KNVB berkata: “Ronald Koeman dimasukkan ke hospital pada Ahad petang selepas mengadu sakit dada.

“Jurulatih berusia 57 tahun itu menjalani proses rawatan kateterisasi jantung sebelum dibenarkan pulang pada Isnin.

“Kami berharap agar Ronald cepat kembali sembuh.”

Sebuah media penyiar di Belanda, NOS pula memetik kata-kata pengurus Koeman, Rob Jansen, yang berkata Koeman dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di dada selepas menunggang basikal.

Koeman juga akan terus berehat selama beberapa hari mendatang.

Pengurus itu telah mengendalikan skuad Belanda selama dua tahun dan membantu negaranya layak ke Euro 2020, yang akan ditunda ke tahun hadapan.

Bekas pemain pertahanan antarabangsa Belanda itu pernah bergelar juara Eropah ketika beraksi bersama PSV Eindhoven dan Barcelona.

Koeman turut pernah mengurus Everton dan Southampton di Premier League sebelum dilantik selaku pengendali pasukan kebangsaan Belanda.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.