Roma Pertimbang Satukan Kembali Sanchez Bersama Smalling

Kelab Serie A, Roma mempertimbangkan untuk membawa masuk Alexis Sanchez dari Manchester United setelah pemain itu jelas tiada dalam perancangan Ole Gunnar Solksjaer di Old Trafford.

Sanchez melalui kempen yang mengecewakan bersama Inter Milan – kelab yang beliau sertai secara pinjaman.

Kecenderungan Manchester United untuk memburu pemain bintang England dan Dortmund, Jadon Sancho pada jendela perpindahan seterusnya bermakna ia hampir mustahil untuk Sanchez merebut tempat untuk aksi bersama Red Devils.

Sepanjang tempoh di Serie A, Sanchez hanya menjaringkan 1 gol dari 15 penampilan untul Nerazzurri, dan Antonio Conte sebelum ini turut sudah memberikan isyarat tidak akan mengekalkan pemain antarabangsa Chile itu di San Siro.

Roma sebenarnya sudah berminat untuk mendapatkan Sanchez pada musim panas tahun lalu, sebelum pemain itu mengambil keputusan menyertai Inter Milan.

Ia bukan halangan sekiranya Roma mahukan Sanchez dari United, dalam usaha Ole Gunnar Solksjaer menyediakan dana untuk pemain baru yang akan dibawa masuk.

Sanchez akan bergandingan semula dengan bekas pemain United, Chris Smalling dan Henrikh Mkhitaryan yang dijadikan pemain gantian ke Emirates ketika pemain itu berhijrah ke Old Trafford.

Sejak meninggalkan Arsenal untuk menyertai Manchester United, Sanchez hanya beraksi dalam 45 perlawanan dan menjaringkan lima gol.

Karier beliau di Old Trafford dan San Siro setakat ini lebih banyak dihiasi dengan kecederaan.

Prospek beraksi untuk Roma mungkin menarik minat Sanchez, mengambil kira sejarah kelab tersebut yang berjaya menaikkan karier pemain seperti Mohamed Salah selepas meninggalkan Chelsea satu ketika dahulu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.