Rio Ferdinand Menamakan Empat Pertahanan Terhebat Dalam Saingan EPL Musim 2020/21

Rio Ferdinand telah memilih gandingan centre-back Manchester City, Ruben Dias dan John Stones sebagai antara empat pemain pertahanan terbaik musim ini dalam saingan premier league.

Ketika berbicara berkait pertahanan terbaik dalam saingan premier league, tidak ramai yang mempunyai pengalaman dan kemampuan seperti apa yang dimiliki oleh Rio Ferdinand.

Legenda Manchester United itu sepanjang kariernya, beliau pernah menjulang enam kali kejuaraan liga bersama Manchester United.

Beliau juga pernah bermain di zaman yang mana ramainya pemain centre-back hebat seperti John Terry dan rakan gandingannya sendiri Nemanja Vidic.

Kini, dek kerana sering bertugas sebagai penyampai BT Sport, Ferdinand berkesempatan untuk menonton aksi-aksi dari para pemain pertahanan dan beliau telah memilih empat darinya yang dianggap terbaik sepanjang musim ini.

“Saya rasa Antonio Rudiger, sejak dia mula bermain sekarang, dia mungkin berada di kedudukan kedua atau ketiga sebagai centre-back terbaik selepas Ruben Dias dan mungkin John Stones, atau Harry Maguire.”

Jelas Ferdinand di saluran Youtube miliknya.

Berbicara tentang Rudiger, Ferdinand kemudiannya menambah lagi:

“Dia antara yang terbawah dari empat pemain itu. Dia nampak semakin bagus sejak ada pengurus baru itu.”

Rudiger hanya mula aktif bermain sejak Chelsea dikendalikan oleh Thomas Tuchel, dan beliau sering diketepikan ketika era Frank Lampard kerana legenda Chelsea itu lebih memilih untuk menggunakan Thiago Silva dan Kurt Zouma sebagai centre-back utamanya.

Sejak kehadiran Thomas Tuchel pada Januari lalu, karier Rudiger semakin membaik dengan beliau ketika ini sudah menjadi antara nadi penting dalam skuad the blues.

Chelsea hanya bolos 14 sahaja sepanjang babak kedua musim ini, lebih tepat lagi sejak kehadiran Tuchel, yang mana lima darinya berlaku ketika aksi kekalahan mengejutkan The Blues bertemu West Brom.

Tidak mengejutkan sama sekali ketika melihat Rio memilih Dias dan Stones sebagai dua centre-back terbaik pilihannya musim ini.

Gandingan centre-back Manchester City itu berjaya membantu kelab muncul sebagai Juara saingan premier league pada musim pertama mereka berdua digandingkan pada musim ini.

Dias telah ditandatangani dari Benfica pada musim panas lalu, dan beliau dianggap sebagai pemain pertahanan terbaik dalam saingan premier league musim ini.

Ramai yang mengakui bahawa Dias sememangnya beraksi dengan sangat cemerlang dan layak untuk dicalonkan sebagai pemenang PFA Player Of The Year.

Dias beraksi dengan sangat cemerlang dan memberikan impak yang sungguh menakjubkan ke atas barisan pertahanan City, hingga beliau sempat dibandingkan dengan impak yang dibawa oleh Van Dijk bersama Liverpool.

Nama pemain pertahanan Belanda itu tidak disenaraikan dalam senarai Ferdinand musim ini kerana beliau telah berehat panjang dan tidak turun beraksi kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Sementara Stones sendiri pula, beliau pada awalnya dilihat seolah bakal meninggalkan kelab pada musim ini selepas melalui kempen yang suram pada tahun lalu.

Namun beliau berjaya bangkit untuk menjadi antara pemain paling berprestasi musim ini dan juga merupakan antara pemain terpenting yang membantu City menjuarai saingan liga.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.