Rhian Brewster Hampir Sertai Sheffield United Tetapi Terkejut Keputusan Klopp Untuk Jual

Penyerang muda Liverpool, Rhian Brewster nampaknya akan menyertai Sheffield United dalam masa terdekat dengan yuran perpindahan bernilai £23.5 juta.

Pakej penjualan tersebut juga termasuk klausa pembelian kembali selama tiga tahun, dan The Reds turut akan mendapat 15% daripada hasil penjualan pemain tersebut pada masa hadapan.

Brewster kini berusia 20 tahun dan merupakan anggota skuad England B-17 tahun yang muncul juara Piala Dunia pada 2017.

Ketika bersama Swansea secara pinjaman pada musim lalu, Brewter turut cemerlang apabila menjaringkan 11 gol dari 22 penampilan.

Sheffield United pula sehingga kini gagal mencetak sebarang gol.

Belum ada pengesahan

Bukan sahaja Sheffield United, malah beberapa kelab lain seperti Aston Villa, Brighton, Burnley, Crystal Palace, Fulham dan Newcastle United turut menunjukkan minat untuk pemain muda ini, sekali gus memberikan indikasi kualiti yang dimiliki oleh Brewster.

Memenangi Augerah Kasut Emas bersama skuad Piala Dunia B-17 England, Brewster pada ketika itu beraksi di samping Phil Foden (Manchester City) dan Jadon Sancho (Borussia Dortmund).

Dua rakan sepasukannya itu jelas sudah jauh dari segi perkembangan potensi berbanding apa yang diperolehi oleh Brewster di Liverpool akibat kesukaran mendapat peluang dan kecenderungan Klopp untuk membawa masuk pemain penyerang lain berbanding pendedahan kepada pemain muda berpotensi.

“Saya belum boleh mengesahkan segalanya telah selesai. Kami telah berunding dengan Liverpool sejak sekian lama dan perbincangan bersama pemain dan kelab masih lagi berterusan,” kata pengurus The Blades, Chris Wilder pada Jumaat lalu.

“Belum ada apa-apa untuk diumumkan buat ketika ini, tetapi ia semakin hampir.

“Ia adalah posisi yang harus diperbaiki, dan ia tidak bermakna kita tidak menghormati penyerang yang sudah berada di sini. Kita perlukan persaingan di dalam kumpulan ini.”

Di sebalik komen oleh Wilder pada Jumaat lalu, nampaknya kini Liverpool dan Sheffield United telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Brewster.

Brewster terkejut

Menurut laporan The Sun, Brewster dilaporkan terkejut dengan keputusan Jurgen Klopp dan Liverpool untuk menjual beliau ke kelab lain, namun menegaskan keutamaan beliau sekarang ialah untuk mendapatkan sebanyak peluang untuk beraksi.

Penyerang itu sehingga kini hanya melakukan empat penampilan untuk Liverpool. Tiga daripadanya ialah di pertandingan merebut piala pada musim 2019/20, dan juga sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Arsenal di Perisai Komuniti.

Sebelum ini penyerang B-21 England ini pernah berkata dirinya berharap mampu berada di dalam kesebelasan utama Jurgen Klopp pada musim ini selepas cemerlang bersama Swansea pada musim lalu.

Bagaimana pun The Reds mahu mendapatkan kembali kos yang digunakan untuk membawa masuk Diogo Jota dan Thiago Alcantara berjumlah hampir £70 juta sehingga mendorong penjualan Brewster.

Liverpool turut dikatakan berminat dengan pemain Watford, Ismail Sarr. Namun tanda harga £45 juta yang diletakkan oleh Watford dianggap tinggi oleh Liverpool.

Atau adakah pemain muda berbakat lain seperti Neco Williams akan menjadi mangsa penjualan selepas ini?

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.