Real Madrid & Barcelona Mahu Selamatkan Karier Bruno Fernandes Di Old Trafford

Real Madrid dan Barcelona dilaporkan berminat untuk mendapatkan playmaker Manchester United, Bruno Fernandes.

Menurut Daily Mail, kedua-dua kelab La Liga itu sedang memantau situasi semasa di Old Trafford, walaupun Fernandes hanya melengkapkan perpindahan bernilai £68 juta ke Manchester dari Sporting Lisbon

Laporan media di UK sebelum ini mendakwa Fernandes tidak gemar dengan tindakan Ole Gunnar Solskjaer mengeluarkannya dalam kekalahan 6-1 kepada Spurs.

Malah laporan tersebut turut mengatakan Fernades hilang kepercayaan terhadap cara Solksjaer mengendalikan pasukan.

Perkara tersebut bagaimana pun dinafikan oleh Fernandes dan Solksjaer sekeras-kerasnya.

Fernandes adalah pemain utama Manhester United dan tunjang kemaraan pasukan itu ke pertandingan Champions League pada musim ini.

Setelah berjaya membantu Man United menduduki tangga ketiga musim lalu, Fernandes turut menyerlah membantu kelab baharunya itu mara ke separuh akhir pertandingan Europa League sebelum disingkirkan oleh Sevilla.

Pemai berusia 26 tahun itu telah menjaringkan 14 gol dalam semua pertandingan bersama Manchester United setakat ini, dan merupakan pemain yang amat vokal di dalam bilik persalinan.

Dalam perlawanan menentang Spurs, emain Fernandes terlebih dahulu memberikan Man Utd gol pendahuluan dari sepakan penalti, namun gagal menghalang Spurs menamatkan saingan babak pertama dengan pendahuluan selesa 4-1 – setelah Anthony Martial turut dilayangkan kad merah.

Fernandes dikatakan meluah rasa tidak puas hati pada waktu rehat dan bertengkar dengan Solksjaer sebelum pemain itu digantikan dengan Fred sebelum bermula babak kedua perlawanan.

Pemain tengah Manchester United itu baru sahaja menamatkan tugasan bersama Portugal dan akhirnya membuka mulut mengenai khabar angin tersebut.

“Terdapat banyak spekulasi mengenai perkara [pertengkaran] itu,” kata Fernandes kepada Sport TV.

“Dulu ia adalah mengenai perbincangan dengan rakan sepasukan, dan ia tidak benar. Ia hanyalah perbincangan dengan seorang rakan sepasukan [Victor Lindelof]. Disebabkan ia seperti umpan tidak mengena, kini [pertengkaran] dikaitkan dengan Solksjaer.

“Saya percaya semua ini hanya untuk menjadi batu api di dalam kumpulan [Manchester United] ini. Apa yang dikatakan itu semuanya dusta belaka.

“Saya digantikan pada waktu rehat. Itu benar, tetapi disebabkan hal [pilihan] teknikal. Jurulatih memberitahu saya bahawa perlawanan tersebut hampir tamat [kalah], dan ada banyak lagi perlawanan selepas ini. Saya boleh faham itu. Saya tidak gemar ia berlaku tetapi tidak berkata apa-apa yang boleh menjejaskan pasukan pada ketika itu.”

Manchester United kini sudah tewas dua dari tiga perlawanan pembukaan Premier League, dan akan kembali beraksi menentang Newcastle United di tempat lawan.

Fernandes juga menegaskan spekulasi mengenai dirinya dan juga rakan sepasukan yang lain harus dihentkan, dan percaya Setan Merah mampu untuk bangkit kembali pada perlawanan seterusnya.

“Jangan suka-suka jual nama saya, rakan sepasukan yang lain atau pengurus untuk membuat masalah di Manchester United,” tambah beliau lagi.

“Atmosfera di bilik persalinan adalah baik, dan pasukan ini sudah bersedia memberikan jawapan pada perlawanan seterusnya.”

Buat masa ini sukar untuk menilai bagamana Barcelona atau pun Real Madrid mampu untuk membeli Fernades dari Manchester United.

Kedudukan kewangan kebanyakkan kelab bola sepak di Eropah tidak stabil selepas berlakunya pandemik.

Barcelona pada awal bulan melaporkan kerugian sebanyak £88 juta akibat wabak yang melanda dunia.

Real Madrid pula tidak berbelanja satu sen pun sepanjang jendela perpindahan lalu. Namun jika keadaan di Old Trafford tidak berubah, ia tidak mengejutkan sekiranya perpindahan tersebut berlaku.

Dan Fernandes kini tahu dua gergasi LaLiga ini sedia membuka pintu untuk beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.