Real Madrid, Barcelona Dan Juventus Bakal Disingkirkan Dari Saingan Champions League

Real Madrid, Barcelona dan Juventus dilaporkan bakal disingkirkan dari saingan Champions League dek kerana penglibatan mereka dalam European Super League.

Sebelum ini, terdapat 12 pasukan yang boleh dianggap sebagai yang terbaik di benua Eropah telah mengumumkan untuk keluar dari Champions League.

Kesemua 12 pasukan tersebut mahu mengundurkan diri dari Champions League kerana mahu menyertai European Super League.

Namun dek kerana kritikan dan desakan dari para penyokong serta pelbagai lagi pihak, pasukan ‘big six’ premier league terlebih dahulu telah menarik diri dari menyertai ESL.

Tidak lama selepas itu, pasukan dari La Liga dan Serie turut membuat keputusan yang sama dan bersetuju ESL bukan cadangan yang terbaik.

Walau bagaimanapun, Real Madrid, Barcelona dan Juventus masih kekal dengan pendirian mereka, dan mahu kekal bersama ESL.

Ia kerana Florentino Perez dan Andrea Agnelli merupakan dua watak penting sebalik penubuhan liga baharu itu, dan kesemua mereka masih tidak mahu mengumumkan pengunduran diri dari ESL secara rasminya.

Kedegilan itu menyebabkan kesemua mereka bakal berdepan dengan hukuman yang sangat berat.

Menurut Cadena Cope, ketiga-tiga mereka akan disingkirkan dari saingan Champions League dan akan dikenakan denda yang besar dari UEFA.

Laporan tersebut juga mendakwa bahawa Sepanyol dan Itali tidak akan kehilangan tempat untuk menghantar wakil dalam aksi saingan tertinggi peringkat kelab pada musim hadapan.

Ia bermaksud, pasukan yang berada di kedudukan lebih rendah berbanding kesemua tiga pasukan tersebut akan dibenarkan untuk menggantikan mereka menyertai Champions League.

Sebagai contoh, di Sepanyol, Real Sociedad dan Real Betis akan layak ke saingan Champions League bagi menggantikan Barcelona dan Real Madrid.

Jika ia benar-benar berlaku, maka usaha Juventus berjuang habis-habisan hingga ke hari terakhir saingan liga hanyalah usaha yang sia-sia.

Seandainya Juventus akan disingkirkan dari menyertai UCL, maka Napoli akan segera mengambil tempat mereka dan menjadi wakil keempat dari Serie A.

Gennaro Gattuso telah dipecat dari menjadi pengurus Napoli selepas sekadar mencatat keputusan seri ketika hari terakhir saingan liga musim ini bertemu Verona.

Keputusan seri itu menyebabkan Napoli terkeluar dari kelompok empat teratas seterusnya memberi ruang kepada Juventus untuk memintas mereka.

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa kesemua tiga pasukan tersebut juga sudah bersedia untuk membawa kes ini ke mahkamah timbang tara sukan kerana mahu membantah keputusan UEFA untuk menyingkirkan mereka.

Sementara tiga pasukan ini bakal berdepan hukuman berat, kesemua sembilan lagi pasukan lain mereka hanya akan berdepan dengan hukuman denda sahaja.

Premier league turut akan mengenakan hukuman denda kepada Manchester City, Manchester United, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.