Reaksi Para Pemain Real Dan Atletico Gelabah Tengok Keputusan Livescore Mencuri Tumpuan Peminat

Rakaman reaksi dari para pemain Real Madrid dan Atletico Madrid melihat keputusan semasa perlawanan masing-masing telah tular di media sosial, dan ia sangat menarik untuk disaksikan.

Kedua-dua pasukan beraksi serentak dalam aksi saingan La Liga pada hujung minggu lalu dengan Barcelona turut turun beraksi untuk mencabar kejuaraan liga.

Selepas mengharungi musim yang sukar dan penuh liku, kejuaraan saingan La Liga musim ini hanya akan ditentukan pada hari terakhir selepas melihatkan kepada keputusan perlawanan minggu lalu.

Selepas kejayaan mereka memperoleh gol kemenangan pada minit akhir perlawanan bertemu Osasuna, skuad kendalian Diego Simeone ketika ini dua mata mendahului Real Madrid yang berada di kedudukan kedua dalam carta liga.

Real Madrid berjaya merapatkan jurang mata selepas kejayaan mereka menewaskan Athletic Bilbao pada hari yang sama Atletico menewaskan Osasuna.

Ia merupakan detik 90 minit yang cukup mendebarkan untuk kedua-dua pasukan dan rakaman aksi para pemain di bangku simpanan yang sibuk menonton keputusan Livescore telah tular di media sosial.

Klip video tersebut menunjukkan bagaimana Marcelo dan Lucas Torreira berkomunikasi dengan rakan sepasukan mereka tentang keputusan perlawanan di dua venue berbeza.

Reaksi yang ditunjukkan oleh Marcelo jelas antara yang paling mencuri tumpuan dengan beliau bersorak keriangan ketika Atletico ketinggalan, kemudian menunjukkan reaksi yang sangat menyedihkan ketika pendahulu liga itu kembali mendahului permainan.

Real berjaya memimpin Liga buat seketika selepas mereka mendahului aksi bertemu Athletic Bilbao, sementara Atletico sedang ketinggalan bertemu Osasuna.

Ketika kedua-dua pasukan mengumpul kutipan mata yang sama, Real Madrid mempunyai kelebihan untuk berada di puncak liga menerusi kiraan keputusan head-to-head bertemu Atletico.

Skuad kendalian Diego Simeone berjaya memintas kembali kedudukan sebagai pendahulu saingan La Liga selepas Luis Suarez meledak gol penting pada minit-minit terakhir permainan.

Ekoran dari keputusan itu, Juara saingan la liga musim ini akan ditentukan pada hari terakhir dalam aksi saingan La Liga musim ini.

Renan Lodi berjaya menyamakan kedudukan untuk Atletico Madrid mengikat Osasuna, dan Luis Suarez pula cemerlang meledak gol kemenangan untuk Atletico pada minit-minit akhir permainan.

Ia merupakan satu detik yang cukup indah untuk bekas bintang Liverpool itu dengan menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki satu minit sahaja lagi.

Beliau terlalu gembira sehingga meraikan gol jaringannya dengan membuka baju sebagai tanda kegembiraan.

Atletico Madrid selepas ini akan berkunjung ke Estadio Jose Zorilla untuk bertemu Real Vallodolid yang ketika ini sedang berada di zon penyingkiran.

Sementara Real Madrid pula perlu mencatatkan kemenangan ketika bertemu Villarreal untuk bergelar Juara saingan La Liga seandainya Atletico Madrid keciciran mata.

Apa yang pasti, Barcelona ketika ini sudah tidak ada peluang untuk bersaing dalam merebut kejuaraan liga, dengan pemain yang mereka buang pula bakal berjuang membantu Atletico untuk bergelar Juara pada musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.