Raul Longhi: “Keadaan Padang Tidak Memuaskan Buatkan Taktikal Kami Tak Menjadi”

JDT tewas 2-0 di tangan pasukan dari Vietnam, Song Lam Nghe An dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Vinh.

Kelab dari Vietnam tersebut boleh dikatakan berjaya melakukan kejutan ke atas bekas juara pada edisi tahun 2015 itu. JDT berhadapan dengan isu di ‘dressing room’ sebelum perlawanan ini.

Pemain import sensasi mereka, Jorge Pereyra Diaz telah ‘buat hal’, dipercayai melarikan diri dari hotel untuk protes kepada pemecatan jurulatih kecergasan pasukan JDT, Fernando.

Ulisses Morais terpaksa melepaskan jawatan beliau selepas isu kesihatan isteri beliau. Jadi, ia sedikit memberikan impak kepada pasukan JDT.

JDT dikendalikan oleh Raul Longhi, jurulatih yang sudah lama berada dalam pasukan kejurulatihan JDT. Aksi pertama beliau dan JDT berakhir dengan kekalahan 2-0.

Namun, dari sudut positifnya, Longhi berpuas hati dengan cara permainan anak-anak buah beliau yang sudah cuba sedaya upaya bermain dengan cara mereka sendiri. JDT cuba bermain dengan hantaran pendek.

Namun keadaan padang di bahagian tengah ternyata menyukarkan mereka yang cuba bermain dengan taktikal tersebut. Mereka terpaksa bermain banyak hantaran tinggi dan ia memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.

Dalam kenyataan rasmi selepas tamat perlawanan, Raul Longhi berkata menerusi lama Johor Southern Tigers:

“Pada separuh masa pertama, kami mempunyai masalah di bahagian tengah. Keadaan padang juga tidak berapa bagus bagi kami.”

“Kami cuba untuk bermain bola dengan hantaran pendek namun keadaan padang agak menyukarkan kami. Jika kami bermain hantaran jauh pula, ia akan memudahkan pasukan lawan.”

Foto – JST

“Prestasi para pemain kami pada separuh masa kedua adalah lebih baik daripada separuh masa pertama.”

Namun pengendali JDT itu tetap memberikan kredit kepada pasukan lawan yang ternyata memiliki kualiti mereka tersendiri. Mereka membunuh perlawanan sebelum tamat perlawanan.

Longhi percaya, dalam kunjungan Song Lam Nghe An ke Larkin nanti, akan menjadi pertarungan yang berbeza. Ini kerana JDT memiliki stadium yang lebih baik dari segi padang untuk bermain bola sepak.

“Song Lam merupakan satu pasukan yang hebat. Namun apabila kita bermain sekali lagi di Larkin, saya merasakan ia akan menjadi satu perlawanan yang berbeza kerana kami mempunyai padang yang baik untuk bermain bola sepak.”

Ini adalah kedudukan semasa untuk kumpulan H setakat ini. Nampak seperti persaingan 3 penjuru.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.