Rangkuman Aksi Ziyech Ketika Bertemu Burnley Sungguh Mengagumkan

Hakim Ziyech telah mempamerkan persembahan cukup hebat selepas beliau diturunkan sebagai kesebelasan utama Chelsea dalam saingan premier league awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Maghribi itu telah mempamerkan kecemerlangannya ketika aksi kemenangan 4-0 Chelsea dalam saingan liga Juara-juara minggu lalu menewaskan Krasnodar.

Pada minggu ini pula, beliau sekali lagi mempamerkan aksi mantap dalam membantu the Blues membenam Burnley 3-0 dengan menjaringkan satu gol dan mencatatkan satu assists.

Ziyech harus menunggu sedikit lama untuk turun beraksi bersama Chelsea selepas sebelum ini beliau diketepikan kerana dibelenggu kecederaan.

Namun, hanya dari dua aksinya sebagai pemula untuk skuad kendalian Frank Lampard, Hakim Ziyech telah berjaya untuk mempamerkan aksi sungguh luar biasa mengagumkan.

Diturunkan sebagai pemain sayap kanan, Ziyech yang mempunyai kelebihan kaki kiri yang luar biasa itu berjaya membina keserasian mantap bersama barisan pemain seperti Timo Werner, Tammy Abraham dan Kai Havertz.

Bekas bintang Ajax itu membuka akaun jaringannya di pentas premier league selepas beliau dengan cemerlangnya menewaskan Nick Pope pada minit ke-26 perlawanan hasil hantaran dari Abraham.

Beliau juga berjaya untuk mencatatkan satu assits dalam perlawanan ini selepas cemerlang membuka ruang kepada Timo Werner untuk menjaringkan gol ketiga Chelsea dalam perlawanan ini pada minit ke-70 permainan.

Selepas Reece James berjaya memintas bola dari lawan, Ziyech dengan cemerlangnya menolak kemas bola melepasi pemain Burnley untuk Werner menjaringkan gol kelimanya sebagai pemain Chelsea dan gol ketiga the blues dalam perlawanan tersebut.

Pengurus pasukan, Frank Lampard telah menganggap Ziyech sebagai seorang pemain harapan dalam membina serangan untuk skuad dan beliau turut memuji aksi yang dipamerkannya dalam perlawanan ini.

“Saya sangat berbangga dan kagum dengan dia.”

Jelas Lampard kepada BBC selepas tamat perlawanan.

“Saya boleh nampak personaliti dan kerja kerasnya atas padang, dia mahir dalam penguasaan bola. Kamu semua lihat hari ini. Kualiti yang dia miliki memberi kami sesuatu yang berbeza.”

Satu lagi gol Chelsea dalam perlawanan ini berjaya dijaringkan oleh Kurt Zouma pada minit ke-63 permainan selepas menerima hantaran dari Mason Mount.

Kemenangan tersebut membawa Chelsea ke kedudukan keempat dalam saingan liga musim ini dengan mengumpul 12 mata dari tujuh perlawanan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.