Rangkuman Aksi Pemalas Paul Pogba Jadi Antara Punca Man Utd Dimalukan

Paul Pogba adalah salah seorang pemain Manchester United yang menampilkan prestasi buruk ketika tewas kepada Crystal Palace di Old Trafford pada hujung minggu lalu.

Skuad Ole Gunnar Solksjaer melalui perlawanan pertama kempen musim ini dengan mimpi ngeri apabila dimalukan oleh skuad kendalian Roy Hodgson dengan jaringan 3-1 di Old Trafford.

Tidak dinafikan keseluruhan skuad Manchester United boleh dikatakan beraksi dengan buruk. Namun apa yang ditampilkan oleh Pogba dalam video berdurasi 30 saat ini boleh disifatkan sebagai pemalas.

Maka tidak hairanlah mengapa Pogba dikeluarkan oleh Solksjaer pada minit ke-67 dan digantikan dengan pemain baharu, Donny Van de Beek.

Dalam video tersebut Pogba kelihatan dengan amat mudah melepaskan bola dari kawalan, dan memaksa Bruno Fernandes berlari untuk mendapatkan bola kembali.

Namun demikian sekali lagi Pogba melepaskan bola dengan melakukan hantaran liar, dan pemain itu turut gagal melakukan hadangan yang sepatutnya dianggap rutin terhadap seorang pemain Palace.

Aksi Pogba dalam perlawanan ini sangat kontra dengan aksi yang ditampilkan oleh beliau pada pengakhiran musim lalu ketika Bruno Fernandes baru menyertai pasukan.

Pemain antarabangsa Perancis itu bagaimana pun tidak menyertai latihan pra musim selepas terkena jangkitan wabak global.

Langkah Solksjaer memasukkan Vand de Beek bagaimanapun membuahkan hasil apabila bekas pemain Ajax itu berjaya menyumbat satu gol dan menjadikan kedudukan 2-1.

Selepas menjaringkan gol barulah Van De Beek mula mendapat bola dan mengubah sedikit permainan Setan Merah dengan permainan satu sentuhan dan pantas.

Bekas pemain Setan Merah, Wilfred Zaha mematikan sisa perjuangan Manchester United dengan gol ketiga melalui satu rembatan leret.

Mudah untuk Zaha menjaringkan gol walaupun cuba dilayan Lindelof dan Harry Maguire.

Pembukaan musim yang buruk dari Setan Merah dan bergaya buat Crystal Palace serta menceriakan seluruh umat bola sepak kecuali penyokong Manchester United.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.