Rangkuman Aksi Emile Smith-Rowe Bukti Beliau Pemain Harapan Arsenal

Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti, begitulah perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan situasi Arsenal pada ketika ini.

Bagi kebanyakkan peminat Arsenal, pemergian Mesut Ozil merupakan satu hal yang sangat mengecewakan. Saban tahun ini gunners sangat memerlukan seorang pemain perancang yang bagus untuk mengemudi bahagian tengah mereka.

Arsenal kekurangan pemain yang kreatif dalam menghubung permainan, mencipta peluang dan menjaringkan gol.

Jelasnya walau mereka mengetepikan Ozil, peminat sedar bahawasanya kelab sangat memerlukan pemain seperti beliau untuk mengisi kekosongan itu.

Pada musim 2015/16, Ozil mencipta 19 assists dari 35 penampilan dalam saingan liga. Ketika era beliau, pemenang Piala Dunia itu merupakan pemain midfield terbaik dunia.

Namun semuanya berubah selepas beliau semakin lama semakin diabaikan sehingga pada musim ini, nama Ozil sama sekali tidak didaftarkan dalam senarai 25 pemain Arsenal dalam saingan premier league.

Beliau sama sekali tidak diberikan peluang untuk beraksi dan akhirnya pihak kelab bersetuju untuk melepaskan bekas bintang Real Madrid itu.

Kini selepas Ozil pergi, Arsenal sudah berjaya menemui seorang bakat muda yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya.

Bintang berusia 20 tahun, Emile Smith-Rowe muncul dan memanfaatkan kesempatan untuk beraksi bersama skuad utama dengan mempamerkan aksi yang cukup mantap.

Gary Neville sendiri membandingkan beliau dengan Robert Pires selepas melihat aksi persembahan hebatnya ketika bertemu Newcastle semalam.

Sejak membuat kemunculan pertamanya bersama Arsenal bulan lalu bertemu Chelsea, Smith Rowe telah mencipta 10 peluang untuk rakan sepasukannya dalam lima perlawanan terakhir bertemu Brighton, West Brom, Newcastle (dua kali) dan Crystal Palace.

Skuad kendalian Mikel Arteta kini berjaya memenangi empat dari lima perlawanan terakhir mereka dengan Smith Rowe memberi impak luar biasa dalam kebangkitan mereka.

Bahkan, hanya Bruno Fernandes sahaja yang mencipta lebih banyak peluang dari permainan terbuka berbanding pemain berusia 20 tahun itu sejak dari Disember tahun lalu.

Beliau juga diberi julukan nama, ‘ Croydon De Bruyne’ oleh segelintir peminat, dan dalam aksi pertemuan bertemu Newcastle semalam, beliau sangat memberi impak dalam membantu kemenangan pasukan Arsenal.

Beliau berjaya mencipta satu assists untuk rakan sepasukannya, Bukayo Saka dalam membantu Arsenal menewaskan Newcastle 3-0.

Neville menyamakan bintang berusia 20 tahun itu dengan Robert Pires dalam analisis beliau dan beliau sememangnya ada alasan tersendiri.

“Kamu lihat Emile Smith-Rowe bermain. Kamu lihat ramai pemain muda bermain di posisi serangan dan mereka semua panik.”

Jelas Neville dalam Monday Night Football.

“Pilihan mereka biasanya sedikit tidak menentu, mereka jarang sekali membuat pilihan yang betul.”

“Dia berlari dengan bola, dia bergerak dengan bola, dia menggelecek dan sering melorongkan bola di tempat dan pada waktu yang sesuai.”

Neville kemudian menyambung lagi dengan menyatakan:

“Pemain terhebat sebenar akan bergerak dengan bola tetapi mereka sering dalam kedudukan terbaik untuk mereka melorongkan bola. Dia sentiasa berhubung, dia selalu bersedia, dia sangat bijak.”

“Mereka ada pemain yang bijak, pemain seperti Pires, pemain bijak yang boleh berlari dengan bola. Dia boleh bermain dalam skuad Arsenal yang lama dengan cara dia main dan dia baru saja bermain enam perlawanan. Enam perlawanan sudah sehebat ini. Sungguh luar biasa.”

“Ia sangat mengagumkan dan peminat Arsenal bertuah kerana mereka memiliki beberapa pemain muda yang berkualiti dan bakal membawa semula mereka ke landasan sebenar.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.