Rakaman Aksi Penyokong Rangers Menerangi Sungai Clyde Dengan Nyalaan Suar Sungguh Menarik Untuk Disaksikan

Para penyokong Rangers telah menerangi Sungai Clyde dengan menyalakan suar pada malam tadi menjelang detik bersejarah pasukan mereka secara rasminya ditabalkan sebagai Juara Scotland.

Rakaman aksi para penyokong Rangers meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka itu sungguh menarik untuk disaksikan.

Skuad kendalian Steven Gerrard bakal dinobatkan sebagai Juara saingan Scottish Premiership buat pertama kalinya dalam satu dekad ini, selepas mengharungi musim yang sangat gemilang.

Walau Rangers akan menjulang Piala kejuaraan liga pada malam ini, namun keraian itu sudah dilangsungkan sejak semalam lagi dek kerana keterujaan para peminat mereka.

Sekitar jam 10.30 malam semalam, para penyokong telah menerangi seluruh bandar Glasgow dengan menyalakan suar terutama di sekeliling Sungai Clyde.

Walau para penyokong membanjiri bandar Scotland, namun mereka dilaporkan telah diarahkan oleh pihak kerajaan supaya mematuhi peraturan penjarakkan sosial yang ditetapkan.

Ribuan penyokong Rangers bersorak ‘Champeones’ berkali-kali sambil menyanyi dan meraikan kejayaan kelab beramai-ramai.

Reaksi mereka telah tular di media sosial dengan para peminat bola sepak seluruh dunia kagum melihat keraian tersebut.

Rangers akan turun beraksi bertemu Aberdeen dalam aksi perlawanan terakhir musim ini dan Gerrard bersama para pemainnya telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh para peminat petang tadi.

Sky Sports sempat merakam aksi ketibaan para pemain Rangers dengan para penyokong sudah memenuhi kawasan tersebut untuk meraikan kejayaan mereka sambil menyalakan suar berwarna biru.

Scott Arfield dan Alfreso Morelos dilihat melambai-lambai para penonton dengan Gerrard tersenyum riang sambil berjalan masuk ke stadium.

Ia merupakan satu kebanggaan untuk bekas pemain midfield Liverpool itu dengan beliau tentunya gembira dengan keputusannya untuk masuk ke dunia pengurusan.

“Saya rasa dari luar, tak ramai yang percaya saya orang yang tepat.”

Jelas Gerrard pada Jumaat lalu kepada BBC Sport.

“Saya faham orang selalu bercakap saya mentah dan tidak berpengalaman, mereka juga anggap kerja ini terlalu besar untuk saya, saya tahu semua itu.”

“Tapi, ketika Rangers datang saya meluahkan apa perasaan saya.. saya ada visi dan saya nampak peluang untuk mencuba dan sampai ke tahap ini sebagai Juara dan membawa Rangers kembali ke tempat mereka yang sepatutnya.”

“Sekarang ia hanyalah tentang bagaimana untuk menambah baik, untuk mengembangkan lagi apa yang sudah dicapai dan untuk berdepan dengan cabaran seterusnya.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.