Ragnar Carlstedt, Si Revolusionis Teknologi Photo Finish Dan Perakam Masa Balapan

Lebih 100 tahun yang lalu dalam acara 100 meter pada Sukan Olimpik Stockholm 1912, Donald Lippincott mencipta rekod dunia dengan catatan 10.6 saat.

Malangnya dalam acara final, Donald sekadar memenangi gangsa dalam acara tersebut.  Itu antara cerita menarik ditulis di dalam akhbar apabila pemegang rekod dunia tewas di final.

Namun begitu, jika tiada teknologi garisan penamat, adakah wartawan akan dapat menulis cerita yang menarik itu? Ataupun sekadar menulis siapa pemenang pingat emas tanpa mengetahui apakah catatan terpantas?

Sukan balapan terus cuba memastikan aspek masa dicatatkan dengan sebaik mungkin. Lantas, syarikat Ericsson telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan teknologi penjaga masa ini.

Tetapi malangnya, Ericsson gagal melakukannya dalam masa yang lebih cepat. Lalu, jurutera dari Sweden Ragnar Carlstedt berjaya mempersembahkan produk mereka lebih awal dengan teknologi elektro-mekanikal.

Ragnar Carlstedt mencipta pemasa yang akan bermula secara automatik ketika pistol dibunyikan di garisan permulaan.

Ragnar Carlstedt memang seorang yang rajin. Beliau turut memperkenalkan teknologi kamera di garisan penamat yang digelar photo finish.

Lebih menarik apabila dalam acara 1500 meter, pertarungan di antara Arnold Jackson menang hanya 0.1 saat. Apa yang lebih menjadi tumpuan apabila 2 pelari Amerika Syarikat menamatkan tangga ke-2 dan ke-3 dalam keadaan agak selari.

Teknologi Ragnar ini telah membantu Abel Kiviat memenangi perak mengatasi Norm Taber. Juri mengesahkan yang Abel ‘sedikit di hadapan’ berdasarkan tinjuan semula photo finish.

Inovasi ini mendapat pujian dan publisiti yang melua daripada media seluruh dunia. Lebih-lebih lagi sukan balapan semakin menjadi perhatian. Ramai peminat yang bertaruh dan mereka mahukan keputusan yang jujur.

(Amaran: Judi itu haram!)

Dahulu kamera itu dirakamkan oleh pegawai yang bertugas di garisan penamat. Ianya berbeza dengan apa yang ada pada hari ini. Segalanya serba automatik.

Era Omega

Perkembangan teknologi semakin membuatkan manusia mahukan keputusan yang lebih dan lebih lagi. Ramai mulai mempertikaikan kamera yang digunakan tidak cukup tepat.

Ini kerana, banyak rakaman gambar itu adalah kedudukan selepas melepasi garisan penamat. Lalu pada sekitar 1930-an, Omega tampil dengan teknologi kamera beresolusi tinggi.

Mereka terus mencetak gambar di garisan penamat dengan ada ‘frame’ pembahagi untuk menentukan keputusan yang lebih tepat dan jitu.

Teknologi photo finish keluaran Omega ini mulai digunakan di Sukan Olimpik Los Angeles 1932. Pada 1948, Omega memperkenalkan teknologi slit camera seperti yang ada pada hari ini. Hasil slit camera adalah seperti di bawah ini.

4 tahun kemudian, jam digital dihubungkan dengan slit camera ini untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat.

Selepas itu, penentuan masa sebenar mengambil beberapa saat dan mencecah sehingga 2 minit kerana pegawai yang bertugas akan mengambil data daripada slit camera dan juga masa yang dicatatkan.

Pada 1972, Omega terus memperbaiki teknologi kamera mereka daripada 100 imej  sesaat  kepada 1000 imej sesaat. Teknologi yang turut digunakan di acara lain termasuk berbasikal.

Selepas itu, pihak kesatuan olahraga dengan pengeluar teknologi ini telah memperbaiki banyak aspek dari semasa ke semasa termasuk perlarasan (aligmnent) pada kamera dan juga kualiti imej yang dihasilkan.

Hari ini kamera digital yang digunakan oleh Omega memiliki ribuan imej sesaat. Teknologi yang lebih tepat dan lebih laju. Kamera yang digunakan pada hari ini boleh menangkap imej peluru yang dilepaskan oleh senapang.

Kini, hasil daripada perlumbaan terus dihantar ke telefon pintar dengan laporan lengkap masa yang dicatatkan. Imej akan ditayangkan terus ke televisyen.

Kepentingan photo finish dan perakam masa ini telah menjadi teknologi yang sangat penting terutama sekali dalam sukan 100 meter.

Itulah kisah bagaiman Ragnar Carlstedt telah merevolusikan teknologi photo finish dan juga perakam masa di dalam sukan balapan.

Hari ini, kesatuan olahraga dunia mengiktiraf pengeluar seperti Lynx, Seiko, Swatch, dan Tissot untuk membekalkan teknologi ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.