Persatuan Sepaktakraw Indonesia (PSI) Akui Silap Dan Pengadil Betul

PERSATUAN Sepaktakraw Indonesia (PSI) mengakui mereka telah melakukan kesilapan kerana protes keluar gelanggang dalam perlawanan separuh akhir Sukan SEA regu wanita semalam.

Timbalan Presiden PSI, H Syafrizal Bakhtiar berkata, jurulatih dan para pemain wanita Indonesia terlalu melayan emosi ke atas keputusan wasit (pengadil).

Dipetik dari sumber Bernama, Syafrizal berkata:

“Selepas meneliti dan melihat semula data serta video ulangan, ternyata tekong kami mengangkat kaki ketika melakukan servis dan ia adalah kesalahan.”

“Ketika itu, jurulatih, pemain dan barisan pengurusan kami hanya melihat dengan mata kasar dan kami akui sudah melakukan kesilapan,” katanya Kuala Lumpur, hari ini.

Syafrizal, yang juga pengurus pasukan semalam telah cuba memujuk jurulatihnya supaya tidak meninggalkan gelanggang namun gagal.

Foto – BERNAMA

“Saya sebagai pengurus pasukan sudah berusaha mengikuti peraturan bahawa kami tidak boleh melakukan protes besar dan hanya boleh membuat bantahan mengikut undang-undang ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan menggunakan prosedur yang betul.”

“Namun kerana sudah tidak terbendung pada waktu itu, kami melakukan juga ‘keluar gelanggang’ dan kami kesal serta memohon maaf atas kesilapan itu.”

Dalam kedudukan Indoensia hampir memenangi set kedua, jurulatih Indonesia, Asry Syam membantah keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei yang membatalkan empat servis yang dilakukan oleh Lena.

Penarikan diri ini memberikan kemenangan percuma 2-0 kepada Malaysia.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan akan mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa teknikal untuk menentukan tindakan yang bakal diambil ke atas Indonesia.

SUMBER

Harian Metro

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.