PSG Gagal Pertahanan Kejuaraan Ligue 1 Selepas Lille Sah Dinobatkan Sebagai Juara Baharu Musim Ini

Paris Saint Germain gagal untuk mempertahankan kejuaraan saingan Ligue 1 selepas Lille secara rasminya merampas mahkota kejuaraan liga dari skuad Mauricio Pochettino itu pada musim ini.

Gergasi Perancis itu telah berjaya mendominasi saingan liga sejak sedekad lalu dan telah menjuarai saingan Ligue 1 dalam tempoh tiga musim terakhir ini secara berturut-turut.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Mauricio Pochettino itu gagal untuk mempertahankan kejuaraan liga mereka selepas ditewaskan oleh Lille dengan perbezaan satu mata sahaja.

Jonathan David berjaya meledak gol pembukaan untuk Lille mendahului Angers 1-0 seawal minit ke-10 permainan dalam aksi terakhir Ligue 1 di Raymond Kopa awal pagi tadi.

Burak Yilmaz kemudiannya menggandakan kedudukan untuk Lille mendahului Angers 2-0 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir aksi babak pertama permainan.

Angelo Fulgini kemudiannya menjaringkan gol untuk Angers di minit akhir perlawanan, namun tidak cukup untuk menyekat Lille dari memenangi perlawanan tersebut seterusnya dinobatkan sebagai Juara saingan Ligue 1.

Paris Saint Germain sendiri pula berjaya melengkapkan kemenangan 2-0 menewaskan Brest di Stade Francis-Le Ble awal pagi tadi.

Sepakan penjuru Angel Di Maria terbias terkena pemain midfield Brest, Romain Faivre untuk gol pembukaan PSG pada aksi babak pertama permainan.

Kylian Mbappe kemudiannya menjaringkan gol kedua untuk PSG pada aksi babak kedua permainan, namun ia tidak mampu untuk mengubah kedudukan liga dek kerana Lille juga mencatat kemenangan di hari terakhir musim ini.

Lille menamatkan kempen musim ini sebagai Juara saingan Ligue 1 dengan mengumpul 83 mata dan ia merupakan kejuaraan liga pertama mereka sejak 2011.

PSG pula sekadar menamatkan kempen musim ini di kedudukan kedua dengan mengumpul 82 mata, satu mata sahaja dipisahkan dari sang Juara.

Lille ketika melantik Christophe Galtier sebagai pengurus pada tahun 2017, mereka sebenarnya sedang berjuang di zon penyingkiran dalam saingan Ligue 1.

Perlahan-lahan Galtier berjaya membawa Lille kembali menjadi pasukan yang digeruni dan kini mereka berjaya bergelar Juara saingan Ligue 1 menewaskan PSG yang dipenuhi pemain berstatus bintang.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.