Prince Naseem, Jaguh Uppercut Dan Juga Penghibur Yang Artistik

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Setiap petinju ada identiti mereka sendiri, begitu juga dengan Prince Naseem Hamed. Bagi peminat sukan tinju era 90-an, nama ini terlalu sukar untuk anda tidak kenali.

Beliau boleh dianggap sebagai seorang petinju dan penghibur sejati. Dalam mana-mana sukan, kita akan suka apabila ada atlet yang ‘fancy’ tetapi hebat, bukannya ‘fancy’ atau ‘showboating’ tetapi hasil tak ada.

Naseem seorang petinju yang memiliki refleks yang sangat tajam dan fizikal yang lincah (agile). Cap dagang beliau adalah masuk ke ring dengan melompat sommersault ke depan.

Beliau kerap keluar dengan lagu termasuk Thriller dan menari-nari sebelum masuk ke gelanggang, membuatkan lawan beliau geram semacam nak menjatuhkan beliau kelak. Namun ia tidak mudah!

Foto – Kjarniin

Nama Prince Naseem awalnya disebut Prince Naz sahaja. Tidak pasti siapa yang memberikan gelaran Prince untuk petinju nakal ini.

Beliau tiada darah diraja, ataupun bangsawan. Naseem Hamed hanyalah anak seorang imigran Syria yang berhijrah ke England dan menjadi legenda di sana.

Mangsa Buli Menjadi Petinju Profesional

Prince Naseem Hamed lahir di Sheffield 1 November 1974. Ayahnya mula menghantar Naseem ke pusat latihan tinju pada usia 7 tahun.

Ianya bermula apabila Naseem seringkali menangis balik dari sekolah dibuli rakan-rakannya. Namun selepas masuk ke kelab tinju, Naseem tidak pula ada kes membuli balik.

Sebaliknya, beliau menjadi bakat elit dalam sukan ini. Minat beliau mulai bertambah. Ternyata, kemasukannya ke gym tinju memang kena pada tempat dan bakat yang ada pada beliau.

Pada usia 12 tahun, tiada siapa budak sekolah berani mengganggu Naseem Hamed kerana dia sudah menjadi petinju amatur yang kerap beraksi di peringkat tertinggi di Eropah.

Pada 1992, beliau menjadi petinju profesional. Dalam musim debut beliau di dalam ring, Naseem telah memenangi kesemua 6 perlawanan pertama beliau dengan KO ataupun TKO.

Prince Naseem pelakon dan penghibur yang hebat. Ada kalanya dia menjadi watak antagonis selepas menjadi protagonis. Sikapnya yang suka menyakat lawannya, pada awalnya dianggap sikap buruk dan berlagak.

Namun lama-kelamaan ia menjadi cap dagang kepada Prince Naseem. Ramai juga yang menunggu dia tumbang kerana sering menghulur mukanya kepada lawan dengan tangan di bawah. Ia selalunya umpan yang dipasang oleh Prince Naseem untuk melakukan jurus maut beliau iaitu uppercut.

Prince Naseem melakukan banyak kajian ke atas lawan beliau. Apa perangai mereka? Bila mereka akan mulai marah, dan kemudian kemarahan itu akan menguasai diri mereka.

Bila hal itu berlaku, lawan Naseem dalam bahaya kerana mereka terlalu fokus untuk memecahkan muka Prince Naseem dan pada masa yang sama, Prince Naseem menggunakan ruang dan masa yang ada untuk menyerang mereka dengan penumbuk tepat.

Sukar untuk menumbuk kepala Naseem meskipun beliau ‘menghulurkannya’ kerana refleks dan ketangkasan Naseem sangat luar biasa. Ibaratkan anda melihat Rey Mysterio.

Counter-punch Naseem adalah terlalu berbahaya kepada sesiapa sahaja.

‘King of Entrance’

Selain menjadi raja di gelanggang, Naseem telah menjadikan aksi ketika masuk gelanggang (entrance) sebagai hiburan. Beliau mencetuskan fenomena tersendiri.

Dalam perlawanan menentang Paul Ingle, 3 ‘kembar’ Prince Naseem sempat menari-nari dengan Naseem asli menaiki Cardillac.

Ketika menentang Alicea. Prince Naseem menaiki tandu bak seorang raja yang diiringi pengawal berbadan tegap dan dayang-dayang cantik yang mengiringinya.

Pengulas sendiri menganggap, jarang acara tinju dimulakan dengan entrance sebegini. Namun penonton menikmatinya. Prince Naseem seperti men-WWE-kan entrance tinju.

Dalam pertarungan menentang Wayne McCullough, beliau menggunakan konsep Thriller oleh Michael Jakson. Ia sangat kreatif dan ditatarias dengan sebaik mungkin.

Namun satu entrance yang agak kontroversi adalah ketika Prince melawan Marco Antonio Barrera. Prince Naseem menggunakan simbol-simbol yang dikaitkan dengan Islam ketika entrance beliau.

Ramai peminat Naseem beragama Islam kecewa dengan entrance ini kerana kalimah Allah dan Muhammad dikumandangkan di tempat yang penuh dengan kaki judi, pertaruhan, dan macam-macam lagi.

Di hari itu juga Prince Naseem Hamed tumpas di tangan seorang lagi legenda, Marco Antonio Barrera. Itu adalah pertama beliau sepanjang karier tinju profesionalnya.

Kekalahan itu sukar untuk diterima oleh Naseem yang berada di kemuncak prestasi. Ramai peminat Naseem bergama Islam menyebut percaya dia kalah kerana membawa kalimah Allah mengiringinya masuk ke dalam ring.

Di seluarnya dia meletakkan perkataan Islam. Naseem sudah terlalu riak selepas terbang terlalu tinggi dan akhirnya, tuhan menariknya semula ke bumi.

Ia adalah pengajaran terbesar di dalam hidup Naseem. Selepas kekalahan di tangan Barerra, prestasi beliau merudum dan gagal untuk bangkit.

Hanya Ada Satu Prince Naseem

Dari satu sudut lagi, Prince Naseem adalah petinju yang sensasi ketika itu dengan rekod 36-1. 31 daripadanya adalah KO ataupun TKO.

Gaya beliau yang santai dan gila-gila di atas gelanggang mebuatkan ramai peminat merasakan sukan tinju bukanlah sukan yang perlukan seorang muka bengis 24 jam.

Foto – Boxing

Beliau memiliki mata yang tajam untuk mengagak tindakan lawan beliau. Sangat cepat untuk melakukan tumbukan balas apabila tumbukan lawan beliau tersasar. Amat sukar untuk lawan beliau sampai ke pusingan ke-12.

Said Lawal pernah menjadi mangsa KO terpantas Naseem. Ia juga pukulan KO ke-4 terpantas dalam sejarah tinju dunia. Naseem hanya memerlukan 35 saat menumbangkan Said Lawal dengan KO, hanya dengan 3 tumbukan.

Entrance Prince Naseem untuk pertarungan ini pula selama 10 minit.

Beliau pernah memenangi kejuaraan WBO, WBC, IBF, dan banyak lagi kategori lain. Beliau dianugerahkan International Boxing Hall of Fame pada tahun 2015.

Beliau adalah petinju yang tiada ganti kerana mencipta cap dagang beliau sendiri.

Prince Naseem Pada Hari Ini

Prince Naseem yang bersara pada tahun 2002 mengalami kesukaran untuk mengekalkan bentuk tubuhnya seperti kebanyakkan atlet lain.


SHARE ()