Presiden Perancis Dapat Baju Pukki

Teemu Pukki telah menjadi fenomena pada awal musim ini. Beliau memulakan kempen EPL dengan cemerlang. Prestasi yang sama beliau tunjukkan ketika mewakili negaranya.

Di negaranya Finland, nama Pukki menjadi satu kegilaan. Pukki setakat ini sudah menjaringkan 6 gol dalam 5 perlawanan liga. Ini termasuk hatrik menentang Newcastle.

Hanya Tammy Abraham dan Kun Aguero yang menjaringkan gol lebih banyak daripada beliau dengan 7 gol.

Kecemerlangan Pukki membuatkan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik EPL untuk bulan Ogos.

Jadi, tidak hairanlah apabila Perdana Menteri Finland turut menggunakan Pukki sebagai salah satu jenama untuk mewakili negaranya dalam diplomasi.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Finland, Antti Rinne, mengadakan perjumpaan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Apa yang menariknya, Rinne telah menghadiahkan Emmanuel Macron jersi tertulis nama Pukki sebagai cendera mata dan kenang-kenangan.

Daily Mail menganggap tindakan oleh perdana menteri Finland itu sebagai unik.

Rinne menganggap ia sebagai hadiah tidak seberapa ataupun small gift, sebagai tanda penghormatan kepada Presiden Macron.

Beliau berkata: “Ucapan selamat dari Paris! Satu pertemuan yang luar biasa dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.”

“Topik perbincangan termasuk: Topik tentang Presidensi oleh Finland di EU, menangani pemanasan global, mempertahankan keluhuran undang-undang dan isu kewangan. Saya juga membawa sedikit cendera mata yang agak ‘kecil’ (kepada Presiden Perancis).”

Pada musim lalu, Pukki menggondol 2 Anugerah peribadi iaitu Pemain Terbaik Liga Championhsip dan juga pemenang kasut emas Liga Championship.

Beliau menjaringkan 29 gol dalam musim debut bersama Norwich dan membantu kelab tersebut naik semula ke EPL.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.