Premier League Tampil Jelaskan Kad Kuning Luke Shaw & Tiada Kekasaran Terhadap Cavani

Robbie Brady boleh dilayangkan kad merah tetapi tidak menerima apa-apa hukuman terhadap tindakannya tanpa dipersalahkan, tetapi pada masa yang sama pemai pertahanan Manchester United, Luke Shaw menerima layangan kad kuning.

Pihak Premier League kemudiannya pantas tampil memberikan penjelasan berikutan kekeliruan mengenai insiden tersebut yang berlaku ketika Burnley melayan kunjungan Manchester United di Turf Moor pada awal pagi tadi.

Penyerang Man United, Edinson Cavani dilihat sedang menuju ke arah gol pada babak pertama perlawanan apabila Brady menjatuhkan beliau di luar kotak penalti.

Kebiasaannya kesalahan tersebut akan menyebabkan pemain dilayangkan kad merah kerana menghalang pemain lain menjaringkan gol.

Namun di dalam insiden tersebut pengadil perlawanan, Kevin Friend tidak mengukum Brady, sebaliknya melayangkan kad kuning terhadap Shaw atas insiden yang berlaku terlebih awal.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Goal, Premier League menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana penilaian dilakukan.

“Pada minit ke-27 perlawanan di antara Burnley vs Manchester United, Robbie Brady telah dilayangkan kad kuning kerana mengasari Edinson Cavani,” ujar kenyataan tersebut.

“Atas arahan oleh VAR, pengadil Kevin Friend telah pergi ke bahagian pengawasan/ Referee Review Area (RRA) untuk menyemak kemungkinan layangan kad merah untuk Brady atas kesalahan menafikan lawan peluang menjaringkan gol dengan melakukan kekasaran. Semakan juga untuk melihat semula kemungkinan kekasaran dilakukan oleh Luke Shaw yang berlaku pada fasa permainan yang sama.

“Apabila pengadil melakukan semakan, beliau ditayangkan terlebih dahulu bentesan oleh Shaw terhadap Johann Berg Gudmundsson. Melalui penilaian dilakukan, pengadil yakin ia adalah kekasaran yang kemudiannya menjurus dan mendorong kepada insiden melibatkan Brady dan Cavani.

“Oleh itu keputusannya ialah memulakan perlawanan dengan memberikan sepakan percuma kepada Burnley, layangan kad kuning Brady ditarik balik, dan kad kuning turut diberikan kepada Shaw.”

Keputusan ini adalah kontroversi terbaru yang berlaku di dalam bola sepak melibatkan teknologi VAR.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka, Man United masih muncul pemenang hasil jaringan tunggal pemain tengah Paul Pogba pada babak kedua perlawanan.

Kemenangan tersebut membenarkan Manchester United melonjak ke kedudukan teratas liga menjelang pertemuan menentang Liverpool yang kini jatuh satu anak tangga pada hujung minggu nanti.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.