Premier League 2020/21: Manchester City 2-0 Aston Villa

Aston Villa berkunjung ke Etihad untuk bertemu Manchester City dalam saingan premier league.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu kini dalam usaha untuk memintas Leicester City di puncak saingan liga.

Sementara Aston Villa pula dalam perlawanan ini bakal menurunkan kesebelasan terbaik mereka selepas hampir kesemua pemain utama mereka menjalani proses kuarantin sebelum ini.

Dua perlawanan yang melibatkan skuad kendalian Dean Smith itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan atas masalah yang sama.

Manchester City bermula dengan lebih garang dalam perlawanan ini apabila mereka hampir saja membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 permainan menerusi Bernardo Silva.

Mujur saja percubaan bintang Portugal itu dari dalam kotak penalti berjaya diselamatkan oleh Emiliano Martinez.

Kedua-dua pasukan kemudiannya bermain dengan lebih berhati-hati dan sesekali berjaya melancarkan siri serangan ke kubu lawan.

Manchester City dilihat lebih mendominasi permainan namun jentera serangan mereka gagal untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Aksi babak pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan pastinya pengurus pasukan perlu melakukan sesuatu untuk aksi babak kedua permainan sebentar lagi.

Babak kedua permainan bermula dengan agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih lagi bermain dalam tempo permainan perlahan.

 

Pada minit ke-51, Aston Villa memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Bertrand Traore yang menerima hantaran cantik dari Martinez.

Sayangnya walau sentuhan pertama beliau kemas dan cantik hingga berjaya melepas Kevin De Bruyne, namun cubaan beliau pula ditujukan tepat ke arah Ederson.

Pada minit ke-79, Bernardo Silva berjaya membuka tirai jaringan untuk Manchester City selepas beliau menjaringkan gol yang sungguh cantik dari luar kotak penalti Villa.

Beliau yang menerima hantaran dari Rodri, berjaya melepasi pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan pada menewaskan Martinez.

Pengurus pasukan Villa, Dean Smith membantah keputusan pengadil yang membenarkan gol jaringan dari Silva dan mendakwa Rodri berada dalam kedudukan offside.

 

Beliau kemudiannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, sebelum dilayangkan kad merah kerana masih membantah keputusan pengadil tersebut.

Pada minit ke-89, Manchester City telah dihadiahkan sepakan penalti selepas tandukan Gabriel Jesus terkena tangan Matt Cash.

IIkay Gundogan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk Manchester City menamatkan permainan dengan keputusan 2-0.

Kemenangan ini membawa The Citizens ke puncak saingan liga dengan mengumpul 38 mata berkongsi dengan Leicester City, namun mereka memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan.

Manchester City juga mempunyai kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

MAN CITY (4-3-3): Ederson 6.5; Walker 6 (Zinchenko 28, 6), Stones 6.5, Dias 6.5, Cancelo 6; De Bruyne 6.5 (Gabriel Jesus 59, 6), Rodri 7, Gundogan 7; Sterling 6 (Mahrez 72, 6.5), Silva 8, Foden 7.5. Subs: Steffen, Torres, Mendy, Fernandinho, Garcia, Bernabe.

Penjaring: Silva 79, Gundogan pen 90

Pengurus: Pep Guardiola 7.5

ASTON VILLA (4-2-3-1): Martinez 7; Cash 6, Konsa 7, Mings 7, Targett 6.5 (Taylor 75, 5.5); Luiz 6, Barkley 6.5 (Ramsey 68, 6); Traore 6.5 (El Ghazi 68, 6), Grealish 7, McGinn 6; Watkins 6. Subs: Heaton, Nakamba, Engels, Guilbert, El Mohamady, Davis.

Kad kuning: Taylor, McGinn

Pengurus: Dean Smith 7

Pengadil: Jon Moss 5

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.