Premier League 2020/21: Crystal Palace 0-7 Liverpool

Liverpool telah menjaringkan tiga gol pada babak pertama perlawanan, sebelum menewaskan Crystal Palace 5-0.

Tiga gol pada babak pertama pertama kali dilakukan oleh juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu sejak kali terakhir melakukan perkara sama pada Disember 2017, dalam perlawanan menentang Bournemouth.

Dua kali dalam tiga perlawanan teakhir mereka berbuat demikian juga adalah ketika berhadapan Crystal Palace, iaitu pada Oktober 2016.

Liverpool memulakan perlawanan ini tanpa khidmat penyerang sensasi Mesir, Mohamed Salah yang sekadar diletakkan di bangku pemain simpanan oleh pengendali pasukan Jurgen Klopp.

 

Lain-lain posisi menyaksikan barisan terkuat The Reds, dengan gandingan Joel Matip bersama-sama Fabinho ditugaskan sebagai pemain pertahanan tengah.

Liverpool memulakan aksi dengan cemerlang apabila mendahului perlawanan hanya selepas 2 minit 7 saat perlawanan berlangsung.

Hasil gerakan berpasukan menarik, hantaran Sadio Mane dari dalam kotak penalti disusuli sentuhan pertama menarik Takumi Minamino, sebelum pemain antarabangsa Jepun itu melepakan satu percubaan dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Crystal Palace, V. Guaita.

Palace yang terkejut dengan jaringan tersebut cuba melakukan beberapa serangan melalui gandingan Wilfreid Zaha, John Ayew, dan Jeffrey Schlupp, namun sentuhan terakhir pada setiap gerakan sering mengecewakan mereka walaupun tampil dengan beberapa percubaan tepat.

Sadio Mane yang memiliki rekod cemerlang untuk Liverpool setiap kali berhadapan Palace kemudiannya bertindak melebarkan kedudukan buat Sang Penakluk Dunia pada minit ke-35 perlawanan apabila rembatan kaki kanan dari dalam kotak penalti selepas mendapat bola dari Firmino menerjah jaring.

Seminit sebelum babak pertama ditamatkan, giliran Firmino pula mencetak nama selaku penjaring apabila cemerlang dengan sentuhan pertama menyambut hantaran lintang Andy Robertson, sebelum pemain Brazil itu dengan klinikal menewaskan penjaga gol lawan.

Skrip pada babak kedua perlawanan ibarat ulangan pada babak pertama. Minit ke-52 perlawanan, giliran Jordan Henderson mencetak nama selaku penjaring apabila kapten The Reds itu berjaya menyempurnakan hantaran lintang Trent Alexander-Arnold.

Minit ke-57 perlawanan, Jurgen Klopp memasukkan Mohamed Salah dan merehatkan Mane. Pada ketika ini dominasi oleh Liverpool sudah amat ketara sekali. Sukar membayangkan bagaimana Palace boleh kembali menggugat Liverpool.

11 minit selepas itu serangan balas pantas oleh Liverpool diadun dengan kesilapan pertahanan Crystal Palace membenarkan Firmino menjaringkan gol kelima Liverpool, dan kedua peribadinya dalam perlawanan ini, selepas menerima hantaran dari Mohamed Salah.

Minit ke-81 akhirnya Mo Salah membuatkan pengurus-pengurus FPL menarik nafas lega apabila menanduk masuk gol keenam Liverpool.

Jaringan tersebut berpunca dari sepakan sudut yang terlebih dahulu singgah di kepala Matip, sebelum Salah yang tidak dikawal dengan mudah memastikan namanya tercatat sebagai penjaring.

Penyerang antarabangsa Mesir itu tidak berhenti di situ sahaja. Selang beberapa minit kemudian usaha solo daripada Salah yang diakhiri dengan rembatan kaki kiri yang melencong ke penjuru sudut gawang menjadikan kedudukan 7-0.

Ia adalah kemenangan terbesar setakat ini pada musim ini yang jelas menunjukkan dominasi Liverpool yang menang dengan penuh gaya, mutu, dan keunggulan.

Jumlah jaringan 7-0 ini akan menjadi amaran kepada mana-mana pasukan yang mahu klaim dan tampil sebagai pencabar kejuaraan Premier League pada musim ini.

Liverpool XI: Alisson, Alexander-Arnold, Matip, Fabinho, Robertson, Henderson, Wijnaldum, Keita, Minamino, Mane, Firmino.

Subs: Adrian, Kelleher, Salah, Oxlade-Chamberlain, Jones, Origi, R. Williams, Phillips, N. Williams.

Crystal Palace XI: Guaita; Clyne, Cahill, Kouyate, Van Aanholt; Schlupp, Milivojevic, McArthur, Eze; Zaha, Ayew.

Subs: Butland, Ward, Dann, Tomkins, Mitchell, McCarthy, Riedewald, Townsend, Batshuayi.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.