Premier League 2019/20: Brighton 1-3 Liverpool

Brighton & Hove Albion melayan kunjungan Liverpool ke American Express Community Stadium untuk perlawanan ke-34 saingan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool dengan bangganya turun sebagai Juara dan seperti biasa pasukan lawan akan memberikan Guard Of Honour kepada penakluk dunia.

Selepas kekalahan kepada Manchester City, Liverpool kembali bangkit dan meneruskan rentak kemenangan minggu lalu menewaskan Aston Villa dan minggu ini giliran Brighton pula menjadi mangsa belasahan sang penakluk dunia.

Liverpool bermula dengan garang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 perlawanan menerusi the Egyptian king, Mohamed Salah.

Hasil kesilapan dari bola pertama Davy Propper yang meliar jauh dari kakinya disambar oleh Naby Keita yang kemudian melorongkan bola cantik menemui Mo Salah.

Salah dengan tenang dan yakin menolak bola padu menerjah gawang gol Brighton untuk gol pembukaan pasukan Juara.

Pada minit ke-8 perlawanan, sekali lagi kesilapan dari pemain Brighton sendiri menyebabkan gawang gol mereka dibolosi kali kedua oleh Liverpool.

Naby Keita sekali lagi berjaya menyambar bola hantaran meliar dari Adam Webster di tengah padang dan kemudian melorongkan bola tersebut kepada Roberto Firmino.

Firmino menghantar kemas bola kepada Mo Salah yang kemudiannya bijak menolak bola ke kaki Henderson lalu ketuka pasukan Liverpool itu melepaskan rembatan padu menerjah gawang gol Brighton.

Minit-minit akhir babak pertama menyaksikan Brighton menyerang gawang Liverpool bertubi-tubi hingga akhirnya mereka berjaya mendapatkan jaringan pertama pada masa tambahan sebelum tamat babak pertama.

Tariq Lamptey bijak menghantar bola ke dalam kotak penalti Liverpool dan bola tersebut tepat menemui kaki Leandro Tossard yang kemudiannya melepaskan rembatan padu menewaskan Alisson Becker.

Tamat separuh masa pertama dengan keputusan sang penakluk dunia mendahului Brighton 2-1.

Masuk babak kedua perlawanan Brighton terus mengasak kubu Liverpool dengan beberapa siri percubaan berbahaya namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Liverpool juga banyak mendapat peluang untuk menambah jaringan namun tiada penyudah sempurna yang berjaya dihasilkan.

Jordan Henderson sendiri berkali-kali menerima peluang untuk menambah gol peribadinya namum berjaya dihalang oleh pertahanan lawan.

Masuk minit ke-76 giliran Mo Salah menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini seterusnya melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool menewaskan Brighton 3-1.

Andy Robertson mengambil sepakan penjuru yang kemas berjaya menemui kepala Mo Salah yang kemudiannya menanduk padu bola tersebut masuk menerjah gawang gol Brighton.

Perlawanan tamat dengan Juara saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, Liverpool menang mudah 3-1 menewaskan Brighton & Hove Albion.

Mo Salah kini sudah terlibat dalam 100 gol liga untuk pasukan Liverpool dengan menjaringkan 73 gol dan mencatatkan 27 bantuan jaringan.

Liverpool kini sudah mengumpul 92 mata dan memerlukan lapan mata sahaja lagi untuk mencapai sasaran 100 mata mereka untuk musim ini.

Rating penilaian pemain Brighton

Kesebelasan utama: Ryan (6); Lamptey (7), Webster (6), Dunk (6), Burn (6); Propper (5), Stephens (7), Gross (7), Mac Allister (6), Trossard (7); Maupay (6).

Pemain simpanan: Connolly (6), Bissouma (5), Mooy (7).

Rating penilaian pemain Liverpool

Kesebelasan utama: Alisson (7); Alexander-Arnold (7), Gomez (6), Van Dijk (7), Williams (7); Henderson (8), Wijnaldum (6), Keita (7); Salah (9), Firmino (7), Oxlade-Chamberlain (5).

Pemain simpanan: Fabinho (6), Mane (7), Robertson (7), Milner (6), Minamino (N/A).

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.